KUALA LUMPUR: Pemuda PAS melihat kenyataan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang mengatakan bahawa gelaran Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said boleh ditarik balik sebagai suatu ugutan yang tidak wajar.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP), Yusapiza Yaacob berkata, adalah tidak adil ugutan sebegitu keluar dari mulut seorang menteri terhadap tokoh sastera yang hanya hadir membaca puisi bersama kumpulan yang mengebarkan bendera Sang Saka Malaya.

"Ini merupakan suatu kezaliman. Malaysia kini berada di ambang hilangnya hak kebebasan memilih dan bersuara."

"Apa lagi yang kerajaan Umno mahu dari tokoh sasterawan ini selepas ini," soalnya.

Menurut Yusapiza, usaha menggugurkan gelaran Sasterawan Negara ini akan dilihat sebagai tidak menghargai jasa yang ditaburkan oleh Pak Samad dalam mengangkat martabat sastera negara.

Beliau mempersoalkan, adakah kerana tidak menyokong kezaliman kerajaan Umno maka seluruh jasa bakti Pak Samad mahu dilupuskan.

"Tidak mustahil pada masa akan datang, nama beliau akan dipadam terus oleh kerajaan dalam sistem pendidikan negara kita."

"Betapa takutnya kerajaan Umno kepada seorang yang berumur 80-an ini," katanya lagi.

Beliau juga yakin gelaran bukanlah suatu yang ditagih oleh Pak Samad berbanding prinsip perjuangan beliau sejak zaman dahulu lagi dalam mengetengahkan isu-isu masyarakat dan menegur sikap kerajaan.

"Kezaliman apakah yang melanda negara kini? Kita baru sahaja menyambut kemerdekaan negara yang ke 56 namun tindakan kerajaan yang kebudak-budakan ini jelas tidak boleh diterima oleh segenap lapisan masyarakat."

"DPPWP juga yakin sekiranya gelaran tersebut ditarik balik, Pak Samad masih kekal dalam perjuangan membela rakyat biarpun di hujung usia," jelasnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan seharusnya menarik balik semua gelaran pemimpin-pemimpin Umno yang terlibat dalam pelbagai salah laku dan rasuah.

Ini kerana, rasuah adalah perkara sebenar yang menggugat keselamatan negara, yang menggadaikan amanah rakyat.

"Mereka inilah yang perlu dihukum dan bukannya seorang tua yang hanya membaca puisi."

"Hakikatnya, petualang-petualang negara ini bebas berada di dalam negara, tanpa sekatan dan masih lagi memengang jawatan-jawatan tinggi dalam negara. Bahkan gelaran mereka juga tidak ditarik balik," tegasnya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment