“Siapa Perkasa?” soal Pak Samad

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
"Saya tidak terlibat," tetapi bagi Datuk A. Samad Said, beliau juga tidak mengiktiraf Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) untuk mendengar tuntutan mereka agar beliau memulangkan kembali gelaran Sasterawan Negara.

Beliau yang lebih dikenali Pak Samad, mengulas dakwaan beberapa pihak termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mendakwa beliau terlibat dalam mengibarkan bendera Sang Saka Malaya dan seterusnya memperlekeh beliau.

Desakan Perkasa yang meminta beliau memulangkan sendiri gelaran sasterawan negaranya tidak diendahkan oleh Pak Samad.

“Bapak tidak iktiraf Perkasa. Mereka yang hebohkan, mereka yang wajar bertindak,” jelas Pak Samad dalam satu kiriman pesanan ringkas kepada The Malaysian Insider.

Pak Samad menolak kritikan Muhyiddin yang mendakwa beliau terlibat dengan pengibaran bendera Sang Saka Malaya pada malam sambutan kemerdekaan hujung bulan lalu.

Katanya, kehadiran beliau di Dataran Merdeka pada sambutan ambang kemerdekaan adalah memenuhi undangan pihak penganjur badan bukan kerajaan (NGO) Himpunan Hijau.

“Secara kebetulan mereka yang mengibarkan bendera Sang Saka Malaya berada di atas pentas yang sama. Saya tidak sedar akan hal itu. Jadi mudah bagi pihak tertentu untuk membabitkan saya.

“Saya tahu Hishamudin Rais dan Adam Adli datang tetapi mereka datang lebih awal dari saya. Apabila tiba giliran saya bersama Himpunan Hijau, mereka sudah ada di sana.

“Perkaitan ini tidak munasabah apabila saya dibabitkan meskipun saya berasa simpati dengan Adam Adli dan Hishamudin,” katanya semasa ditemui The Malaysian Insider.

Apabila ditanya adakah beliau bersetuju Sang Saka Malaya dikibarkan pada malam kemerdekaan, beliau menjelaskan bendera itu relevan dengan semangat perjuangan golongan terdahulu.

Katanya, Sang Saka Malaya sudah menjadi sejarah namun tidak salah bagi warga Malaysia mengimbas kembali sejarah berkenaan.

The Malaysian Insider melaporkan semalam Muhyiddin menyelar tindakan Pak Samad kerana terlibat dengan insiden pengibaran bendera Sang Saka Malaya dan menyifatkan ia merupakan perbuatan yang memalukan.

Muhyiddin itu kesal apabila insiden tersebut terjadi ketika negara sedang menyambut kemerdekaan sambil menyatakan penglibatan sasterawan itu amat memalukan dan sangat tidak senonoh kerana Pak Samad membawa nama Sasterawan Negara.

Katanya, bendera Sang Saka Malaya tidak harus dikibarkan kerana ia bukan bendera asli Malaya malah dakwaan itu hanya bermotifkan politik semata-mata.
Muhyiddin berkata sekumpulan yang tidak berpuas hati dengan kerajaan, akan sentiasa mencari kesalahan dan mempunyai niat yang tidak baik. - 7 September, 2013.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment