Saya sudah sedia mati, kata Pak Samad

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
September 08, 2013




















Hujan lebat petang hari itu seakan merestui kehadiran insan yang banyak menyumbang bakti kepada negara meskipun pada hari itu ada ura-ura beliau akan ditangkap polis.

Laungan iqamah di Masjid Negara memanggil jemaah segera mendirikan saf untuk sama-sama menunaikan solat Asar secara berjemaah.

Waktu itulah kelibat beliau muncul berbaju Melayu dan berkain samping serba putih membina saf bersama jemaah lain.

Beberapa jam sebelum itu, ada khabar angin mengatakan Pak Samad akan menyerah diri kepada polis selepas solat Asar namun suasana tetap tenang dan sakinah seperti rumah Allah yang lain.

Beliau kelihatan sedang membaca selembar dua dari kitab suci al-Quran sebelum diminta kebenaran untuk ditemubual secara mengejut oleh The Malaysian Insider.

Setelah memperkenalkan diri dan menyatakan berasal dari kampung yang sama iaitu Kampung Belimbing Dalam, Durian Tunggal, Melaka, beliau lebih mesra menjawab segala persoalan yang diajukan.

Penerima Anugerah Sasterawan Negara 1985 itu ternyata tersusun pengucapannya malah perkataan yang keluar dari mulutnya sangat indah untuk dihayati.

Pembaca setia The Malaysian Insider itu lebih senang memulakan cerita tentang kerenah media arus perdana kerana beliau menyifatkannya tiada lagi kebebasan media dalam penyampaian berita entiti itu.

“Pengaruh kerajaan dalam media arus perdana bermula sejak pasca kemerdekaan lagi maka laporannya berat sebelah."

“Portal berita seperti The Malaysian Insider menyeimbangkan laporan berita Malaysia dengan memberi publisiti kepada pembangkang kerana itu adalah prinsip demokrasi. Jika enggan menerima suara pembangkang, canang sahaja Malaysia bukan negara demokrasi."

“Perkara ini harus ditegakkan demi kelangsungan generasi yang akan datang,” katanya sambil menunjukkan telefon bimbit usang digunakan untuk membaca berita terkini dari laman portal.

Novelis yang terkenal dengan karya Langit Petang dan Hujan Pagi ini senang bercerita pada zaman kanak-kanaknya semasa menunggu keretapi melintas di Kampung Belimbing Dalam.

“Kira-kira jam 3 pagi, saya bersama rakan-rakan terhibur melihat kepulan asap dari kepala keretapi yang perlahan-lahan menuju ke angkasa,” katanya yang sedikit tersenyum mengenang zaman kanak-kanaknya.

Mengulas mengenai puisi “Hidup Bersama” yang telah dimuatnaik di laman YouTube, Pak Samad berkata karyanya itu menggesa rakyat Malaysia melihat hubungan antara kaum di Malaysia dengan perspektif yang lebih luas.

“Kita mewarisi negara dan kita juga boleh menghancurkannya. Kaum di Malaysia datang dengan pelbagai latar belakang maka kita harus belajar hidup bersama."

“Tidak semua orang Melayu itu baik dan tidak semua orang Cina itu jahat. Maka kita dalam perjalanan mencari rakan yang baik dan menyisihkan yang jahat,” jelasnya yang ditemani sebuah beg bimbit, payung dan satu botol air mineral yang masih belum diminum.

Bercerita tentang latar belakang dirinya, Pak Samad memberitahu beliau pernah mempunyai tiga orang isteri tetapi isteri kedua telah diceraikan.

Beliau kini bersama isteri pertama dan ketiga dan dikurniakan enam orang cahaya mata kesemuanya.

“Isteri saya yang pertama berusia 79 tahun dan yang ketiga berusia 59 tahun. Saya dianugerahkan cucu seramai 10 orang,” katanya.

Perbualan bersama Pak Samad kerap kali terganggu ekoran beberapa wartawan yang mahu mengetahui status terkini penangkapannya kerana Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada hari itu telah meminta sasterawan itu untuk menyerah diri berkaitan insiden bendera Sang Saka Malaya pada malam kemerdekaan lalu.

Sasterawan yang turut digelar ‘Hilmi’ sebagai nama penanya ini berkata beliau tidak mempunyai waktu tertentu bagi mendapatkan ilham tetapi karyanya sebelum ini banyak berdasarkan perkara yang dialaminya sendiri.

“Sekiranya saya tidak bekerja di media cetak suatu masa dahulu, Hujan Pagi tidak terbit. Salina juga atas pemerhatian saya zaman penjajahan British."

“Inti pengalaman dan pembacaan membantu dalam kaedah menulis. Saya banyak menelusuri karya luar negara tetapi isinya berdasarkan pengalaman sendiri,” katanya.

Ketika diminta mengulas suka duka sebagai wartawan sewaktu berkhidmat zaman pasca kemerdekaan, Pak Samad berkata akhbar arus perdana pada ketika itu tidak mampu menyampaikan fikiran semurni mungkin kerana rata-rata mereka yang bekerja di media itu dilabel sebagai hamba kerana tidak lagi bebas.

“Itu yang saya sedih. Wartawan media baru lebih garang dan boleh menyatakan pendirian mereka."

“Saya berhenti sebagai pengarang di media kerajaan kerana saya tidak lagi merasa akhbar itu murni. Saya berhenti ketika berusia 49 tahun dengan penuh tekad."

“Selepas itu saya tidak bekerja tetapi telah menghasilkan kira-kira 72 buah buku dan masih menerima royalti pusingan."

“Tuntutan hidup saya tidak besar. Saya dan isteri masing-masing sudah tua maka tidak mengimpikan perkara yang besar-besar."

Penulis naskhah Lantai T Pinkie itu turut mengingatkan generasi muda agar sentiasa menyanjung pejuang bangsa yang terdahulu.

Katanya, pejuang negara berhaluan kiri seperti Rashid Maidin, Abdullah Sidi, Norkiah Abdullah dan lain-lain adalah mereka yang berjuang menentang British malah negara penjajah itu bekerjasama dengan Chin Peng bagi menentang Jepun.

“Chin Peng sendiri pernah menerima dua pingat dari British namun hasrat parti komunis ketika itu mahu memerdekakan negara dan kedua blok itu bermusuh kembali."

“Sejarah ditentukan oleh pihak menang. Justeru mereka boleh berkata apa sahaja dengan menuduh komunis adalah satu ancaman."

“Isu rusuhan kaum 13 Mei 1969 juga tidak perlu disingkap kembali kerana luka lama perlu disembuhkan," katanya.

Sementara itu, kelahiran penulis novel muda yang sering menimbulkan babak erotik dalam penulisan mereka dilihat sebagai perkara biasa, kata Pak Samad.

“Tiada masalah kerana yang menceritakan dan membacanya orang muda. Apa yang penting ada pembacanya kerana jika ditulis buku yang hebat-hebat ramai tak baca dan tak laku."

“Penulis muda melakukan perkara yang mereka minati dan cepat mendatangkan pendapatan,” katanya.

Beliau menjelaskan orang awam yang sering menjumpai Pak Samad dalam pengangkutan awam adalah kerana beliau dalam perjalanan ke kedai buku, tempat tertentu dan menonton filem.

“Saya menonton filem Cina dan India tetapi tidak Tanda Putera. Sebagai warga emas, pergerakan saya mudah dan murah. Dari rumah di Bangsar ke KLCC hanya RM1."

“Untuk makan mi, saya biasa ke Ampang Park. Tetapi kebanyakan masa di kedai buku,” katanya.

Beliau gemar membaca buku bagi mendalami keadaan semasa politik dan ekonomi di China, Amerika dan Rusia.

Katanya, atas kekangan masa mereka yang mahu membaca buku, genre biografi dan autobiografi sesuai untuk dibaca kerana pembaca dihadapkan dengan perkara yang benar.

“Kita dapat memahami kisah Nelson Mandela, tumbangnya komunis di Rusia atau revolusi di Timur Tengah."

“Siang ramai yang bekerja, maka waktu malam hanya ada sekitar dua atau tiga jam untuk membaca," katanya.

Sasterawan negara ini turut menempelak kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan pemberian wang Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).

Beliau berkata seharusnya BN berasa terhina kerana sebelum pemberian seumpama itu kerajaan gagal membantu rakyat.

Katanya, hutang negara yang makin meningkat dari setahun ke setahun akan dibayar oleh generasi akan datang.

Sasterawan yang terkenal dengan karya “Wira Bukit” berkata beliau kini tidak lagi menulis novel dan lebih menumpukan kepada ibadah.

“Saya masih menulis diari dan perkara ini telah dilakukan lebih 22 tahun. Ini tidak termasuk tulisan dan komentar saya di ruangan maya,” katanya.

Beliau berkata rahsia kesihatannya adalah gemar berjalan dan bergerak dan cuba mengelak makanan berminyak.

“Kesihatan lebih tertumpu kepada kedamaian dan jiwa yang tenang,” ujar beliau.

Dalam pada itu, sasterawan negara itu tidak bimbang dengan istilah bahasa Melayu yang banyak dicedok dari perkataan bahasa Inggeris seperti strategi, kronologi dan lain-lain.

Katanya, menerusi kaedah berkenaan kosa kata bahasa Melayu dapat berkembang dengan lebih cepat.

Setelah atas kesemua kejayaan yang diraihnya, sasterawan negara itu berkata beliau bersedia untuk mati kerana kebanyakan masa dipenuhi dengan beramal seperti berpuasa, membaca surah Yasin lima kali sehari dan mendalami al-Quran.

“Itu persediaan saya sekarang ke alam baqa’,” katanya mengakhiri pertemuan bersama The Malaysian Insider. – 8 September, 2013.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment