Satu Jari Tuding Orang Lain, Empat Jari Tunjuk Diri Sendiri

Bukankah gambar di atas menjelaskan menteri berkenaan menunjukkan kebodohan dirinya sendiri?

Apabila di mata Nazri semua orang bodoh belaka - Shahbudin Husin

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Nazri Aziz terus menjadi bahan sorotan media sejak kebekalangan ini. Jika dulu beliau kerap menjadi perhatian kerana tugasnya sebagai menteri yang menjaga Parlimen, kemudian disusuli dengan pelbagai hal berkaitan anaknya, kini kerana kekerapannya mengeluarkan perkataan "bodoh" pula.

Beliau menggelar Pengarah Strategik PKR yang juga Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli sebagai "bodoh" apabila menyarankan menteri kabinet menggunakan duit sendiri untuk mengisi minyak kenderaan masing-masing sebagai tanda mahu bersama mengurangkan beban kewangan kerajaan, di samping merasai sedikit keperitan rakyat yang terpaksa mengalami peningkatan kos hidup.

Sebelum itu, Nazri juga menggelarkan Lim Kit Siang sebagai "bodoh" apabila veteran DAP itu mencadangkan kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung peristiwa 13 Mei bagi mengelakkan isu itu menjadi polemik yang berterusan dan menjadi bahan propaganda politik pihak tertentu.

Jika anak begitu dilarang menggunakan istilah "bodoh" sama ada kepada adik-beradik atau rakan sepermainannya, begitu juga ia dianggap tidak sopan digunakan di sekolah, Nazri sebaliknya mungkin mencatat rekod sebagai pemimpin negara yang paling kerap melafazkan perkataan "bodoh" itu.

Yang dicatat media, mungkin hanya Rafizi dan Lim Kit Siang yang "dibodohkannya" tetapi mungkin lebih ramai orang yang disanggahnya atau tidak sependapat dengannya, turut dilabelnya "bodoh" juga. Kepada Rafizi dan Lim Kit Siang, ungkapan "bodoh" yang ditujukan kepada kedua-dua mereka oleh Nazri pula mungkin bukan sekali, malah berkali-kali.

Kalau itu diambil kira, rekod Nazri dalam mengungkapkan perkataan "bodoh" mungkin lebih menjulang lagi. Mungkin mencapai taraf Asia, kalau pun tidak di peringkat dunia.

Sebagai pemimpin, apatah lagi berbangsa Melayu dan beragama Islam yang selalu dikenali dengan wajah sopan santun dan berbudi bahasa, kelancangan Nazri mengeluarkan perkataan "bodoh" dengan begitu kerap bukan saja mengejut dan menggelikan banyak pihak, bahkan menggambarkan imejnya sebagai pemimpin Umno yang angkuh, sombong dan sedikit bongkak.

Pada masa sama, keinginannya untuk menghayati slogan "berubah" yang selalu dilaung-laungkan Perdana Menteri ternampak masih jauh panggang dari apinya.

Jika pun tidak bersetuju dan ingin menyanggah hujah, bukankah lebih manis jika menggunakan fakta dan bahasa yang sopan serta indah. Ia bukan saja lebih mudah diterima oleh orang yang mendengarnya, bahkan menggambarkan kedudukan seseorang yang bergelar pemimpin itu memang jelas berbeza dengan rakyat biasa.

Dengan mengungkapkan perkataan "bodoh" sesuka hati dan mudah emosional, Nazri tidak meletakkan imej dirinya, Umno dan kerajaan yang dianggotainya lebih tinggi di mata rakyat. Rakyat malah membenci dan mencebiknya, bahkan ada yang berkata, jika BN menang lebih daripada 133 kerusi, kesombongan dan keangkuhannya mungkin lebih melangit lagi.

Setelah beliau melabelkan Rafizi sebagai "bodoh", Rafizi kelihatan tetap tenang dan ingin belajar kepintaran Nazri dengan mengajaknya berdebat pula. Nazri sekali lagi menunjukkan kesombongannya dengan berkata, beliau yang "somebody" tidak akan membuang masa berdebat dengan Rafizi yang dianggapnya "nobody" itu.

Nazri nyata berbeza dengan KJ yang turut diajak berdebat oleh Rafizi, tetapi menjawab dengan sopan dan penuh kematangan. Tanpa mengeluarkan perkataan "bodoh", "somebody" atau "nobody", Menteri Belia dan Sukan itu mengatakan tiada keperluan lagi untuknya berdebat dengan Rafizi di pentas terbuka kerana Rafizi kini sudah menjadi Ahli Parlimen dan sebarang isu boleh dibangkit dan dihujahkan di Dewan Rakyat.

Dalam hal ini, bekas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Zaid Ibrahim turut menyindir Nazri di Twitter dengan mengatakan Rafizi bukanlah "nobody" tetapi seorang yang berani, malah mempertikaikan di kalangan 30 orang menteri kabinet yang ada, tiada seorang pun berani menyahut cabaran debat itu.

Dalam apa juga keadaan, sama ada kerana dendam kesumat atau ada batu besar terbuku di hati, tindakan Nazri sesuka hati dan selancangnya mengeluarkan perkaraan "bodoh" tetap dianggap tidak sopan dan kurang manis. Malangnya, Nazri bukanlah budak sekolah atau anak kecil lagi yang boleh ditegur atau dinasihati.

Barangkali di mata Nazri, semua orang adalah "bodoh-bodoh" belaka.

Nazri sifatkan cadangan Rafizi bodoh

Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz bersetuju dengan rakan Kabinetnya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang menggesa pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk memulakan cadangan di pihak mereka terlebih dahulu bagi mengeluarkan perbelanjaan sendiri untuk peruntukan wang petrol.

Menurut Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu, oleh kerana cadangan itu datang dari pihak PR maka mereka yang harus melaksanakannya terlebih dahulu.

Mohamed Nazri turut menyelar Pengarah Stategi PKR Rafizi Ramli kerana cadangannya meminta menteri dan timbalan menteri melaksanakan perkara tersebut sebagai satu cadangan bodoh.

"Budak itu (Rafizi) bodoh. Dia bukan tahu apa, main cakap je. Dulu saya tidak terlibat dengan rasuah pun dia cakap saya terbabit dengan rasuah.

"Kita tidak cadang itu. Perkara itu datang dari mereka, jadi merekalah yang buat, saya sarankan Menteri Besar Selangor, Ketua Menteri Pulau Pinang dan exco kerajaan negeri mereka guna duit sendiri terlebih dahulu," katanya kepada media dalam majlis Warna-Warni Aidilfitri anjuran Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Kuala Lumpur malam ini.

Rafizi awal hari ini mendesak menteri dan timbalan menteri membayar wang petrol sendiri ekoran menyifatkan langkah Putrajaya menaikkan harga petrol RON 95 dan diesel sebanyak RM0.20 seliter sebagai menghukum rakyat yang sudah sedia bergelut dengan kesempitan kewangan.
-TMI

ULASAN GB

Hukum kebenaran dan keadilan berjalan. Dan semua orang boleh "membaca" hukum berkenaan.

Tidakkah Nazri yang menunjukkan isyarat lucah sebelum ini itu sedang memaparkan "kebodohannya" yang tak terhingga? Apatah lagi sebagai seorang menteri yang berbangsa Melayu dan beragama Islam, isyarat lucah yang ditunjukkan itu sudah cukup untuk menjelaskan bahawa beliau jahil (bodoh) tentang adab bangsa dan hukum agama....

Meminjam sepatah dua perkataannya sendiri apabila mengkritik sasterawan negara, Datuk A.Samad Said: Besar sangatkah dia tu? 
 
Sumber Berita Dari Blog Greenboc

No comments:

Post a Comment