Salahkan sektor swasta di kala kerajaan sertai TPPA “menghairankan”, kata pembangkang

OLEH DIYANA IBRAHIM

Najib berucap semasa program pelancaran agenda memperkasakan Bumiputera bulan lepas. 
Najib berucap semasa program pelancaran agenda memperkasakan Bumiputera bulan lepas.
Kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Wahid Omar menyalahkan sektor swasta sebagai punca kegagalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) dibidas pemimpin pembangkang kerana bercanggah dengan pendirian kerajaan yang mahu menyertai Perjanjian Perdagangan Trans Pasifik (TPPA).

Ahli Parlimen Kuala Terengganu dari PAS Datuk Raja Kamarul Bahrin Raja Shah berkata tindakan Abdul Wahid menyalahkan sektor swasta menghairankan kerana objektif TPPA yang mahu disertai kerajaan adalah untuk mewujudkan pasaran perniagaan lebih luas.

"Agak menghairankan dengan kenyataan beliau dibuat ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang inginkan liberalisasi dalam sektor ekonomi,” kata Raja Kamarul Bahrin apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider semalam.

Katanya, kerajaan seharusnya memperbaiki kelemahan pentadbiran sistem urus daripada menyalahkan pihak lain.

"Contoh terdekat ialah Talent Corp sepatutnya mengumpul tenaga pakar anak tempatan yang belajar di luar negara, akibat daripada ketidakseimbangan, ramai yang menolak. Ini menunjukkan betapa ketidaktelusan integriti negara," katanya.

Dalam wawancara bersama akhbar The Edge yang disiarkan semalam, Abdul Wahid mempertahankan agenda memperkasakan Bumiputera dengan menyalahkan pihak swasta dan mengatakan ramai pihak tersalah tafsir terhadap program pemerkasaan Bumiputera itu.

Abdul Wahid juga menafikan Perdana Menteri telah berpatah balik daripada Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkannya pada 2010.

"Apa yang saya cuba katakan ialah wujud banyak peluang dalam sektor swasta tetapi malangnya banyak ahli perniagaan Bumiputera dan profesional merasakan mereka tidak diberi peluang yang adil dalam sektor swasta. Sebagai contoh, hanya sebilangan kecil Bumiputera diperingkat pengurusan atasan," katanya.

Raja Kamarul Bahrin turut mengatakan dakwaan Abdul Wahid tidak berasas dan kerajaan seharusnya mengakui kelemahan sendiri.

"Setelah gagal hampir 40 tahun dalam melaksanakan DEB maka timbul pula idea kononnya sektor swasta ini banyak menghadkan peluang kaum bumiputera, alasan tersebut langsung tidak relevan," katanya.

Abdul Wahid dalam wawancara bersama akhbar perniagaan itu turut mengatakan program memperkasakan Bumiputera selari dengan MEB memandangkan kumpulan tersebut masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum lain.

"Dalam konteks ini, jika kamu lihat kepada situasi Bumiputera, walaupun kita lihat penambahbaikan dalam pendapatan, ekuiti dan hakmilik hartanah sepanjang 40 tahun lebih ini, ia masih di bawah sasaran," katanya.

Menurut bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malayan Banking (Maybank) Berhad itu, program pemerkasaan Bumiputera bertujuan untuk memberikan peluang yang seimbang meliputi semua jenis perniagaan.

"Ini bagi memastikan Bumiputera mendapat peluang yang adil."

"Daripada segi peluang kerja, sektor awam menyediakan 11% manakala sektor swasta 89%,” katanya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment