ROS juga perlu siasat pemilihan Umno

SEBERANG JAYA - Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) perlu menyiasat pemilihan jawatan dalam Umno yang akan berlangsung bulan depan kerana ada prosesnya yang tidak telus.
Ahli Umno Tasek Gelugor yang dibatalkan pencalonan untuk jawatan ahli jawatankuasa bahagian, Asmidy Mohamad berkata, langkah itu perlu bagi memastikan pemilihannya mengikut perlembagaan parti dan tiada ahli yang diketepikan hak.
Beliau berkata, tiada sebab ahli yang digantung hak keahlian tidak dibenarkan atau hilang kelayakan untuk bertanding kerana perlembagaan parti membenarkannya.
"Lembaga disiplin Umno adalah pihak yang berkuasa menyiasat kes atau kesalahan dalam pemilihan parti. Tetapi kenapa surat penggantungan ditandatangani oleh setiausaha agung," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Umno Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Jasmin Mohamed yang dibatalkan pencalonan untuk ketua bahagian, Dr Md Rozi Yusof (timbalan ketua bahagian), Salmah Ahmad (naib ketua wanita Umno), Rahim Che Noor (ahli jawatankuasa bahagian) dan Mahamad Tahir Yusof (pengerusi tetap bahagian).

Dr Md Rozi berkata, ibu pejabat Umno perlu menjelaskan mengenai status mereka yang berjaya menjadi ketua cawangan dalam pemilihan yang diadakan sebelum ini.
"Adakah penggantungan hak keahlian kami turut menyebabkan jawatan kami sebagai ketua cawangan terbatal."
"Saya menang ketua cawangan dalam pemilihan pada 8 September lalu. Adakah surat penggantungan kami pada 20 September turut menyebabkan jawatan di cawangan terjejas," katanya.
Rahim pula meminta jawatankuasa disiplin menyiasat ketua bahagian Tasek Gelugor kerana didakwa terlibat dengan politik wang dengan memberi wang tunai kepada semua ketua cawangan pada bulan puasa lalu.
Beliau mendakwa pemberian wang itu dilakukan dalam satu majlis yang diadakan di Penang Golf Resort, Kepala Batas.
"Kami sudah membuat aduan kepada lembaga disiplin mengenai perkara itu dan berharap ia disiasat segera. Jika terlibat, ketua bahagian juga tidak layak untuk bertanding dalam pemilihan kali ini," katanya.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment