KUALA LUMPUR: Bahang kenaikan harga minyak kini bukan sahaja dirasai pelbagai lapisan rakyat  malah turut mendapat reaksi negatif tokoh politik Umno.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dipetik akhbar Sinar Harian, 7 September, mengecam kerajaan pimpinan Dato' Seri Najib Razak kerana gagal membendung gejala rasuah dalam pentadbiran negara hingga menjejaskan rakyat.

Mengulas langkah kerajaan mengurangkan subsidi diesel dan Ron95 seperti diumumkan Perdana Menteri, 2 September lalu, bekas Menteri Kewangan itu sebaliknya mahu gejala rasuah yang menjadi masalah terbesar pentadbiran negara ditangani segera.

"Amalan rasuah begitu berleluasa di peringkat tertinggi dan melibatkan jumlah wang yang banyak. Akhirnya rakyat yang terpaksa menanggung beban akibat daripadanya," tegas beliau.

Menurut bekas Presiden Parti Melayu Semangat 46 itu, kerajaan membiarkan rakyat bawahan membayar kos tambahan akibat daripada kos projek yang terlalu mahal.

"Ini tak boleh diteruskan lagi. Kerajaan sepatutnya kena tanggung dan selesaikannya," tegasnya dalam satu sidang media.

Beliau yakin banyak masalah dapat diselesaikan jika gejala rasuah diatasi.

Tengku Razaleigh turut mencadangkan agar semua pemimpin kerajaan sama ada menteri atau bekas menteri mengisytiharkan harta masing-masing sebagai langkah berkesan membendung gejala rasuah.

"Ini termasuk juga isytihar duit (wang simpanan). Saya sendiri akan isytihar (walaupun sudah lama tidak menjawat menteri)," katanya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment