KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berharap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau sebelum pengumuman Bajet 2014 pada 25 Oktober nanti.

Beliau berkata tindakan itu bagi memastikan agar tidak berlaku penyalahgunaan bajet tersebut untuk mempengaruhi pengundi.

"Kita dimaklumkan dengan kematian bekas Menteri Besar, Tan Sri Azizan Abdul Razak dan PRK akan diadakan dalam tempoh enam puluh hari."

"Apa yang ingin saya tekankan adalah agar SPR yang akan bermesyuarat dalam masa terdekat ini mengambil keputusan menetapkan tarikh PRK sebelum bajet diumumkan."

"Ini bagi memastikan pengumuman yang dibuat pada bajet tersebut tidak mempengaruhi pengundi," jelasnya pada sidang media di lobi Parlimen.

Mahfuz tidak menolak bajet kali ini akan memperlihatkan pemberian tunai kepada rakyat seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang dapat mempengaruhi secara langsung kepada pengundi.

"Kita tidak mahu pengumuman pemberian tunai seperti BR1M atau pun lain-lain bantuan yang akan menjadi pengaruhi kepada pengundi."

"Kita mahu PRK kali ini berlaku dalam keadaan seimbang bukannya melalui pengaruh belanjawan yang pasti mempunyai sesuatu untuk menarik pengundi."

"SPR perlu bertegas membuat keputusan agar ia diadakan sebelum bajet, tetapi jika PRK diputuskan selepas Bajet 2014, ini membuktikan SPR bersekongkol untuk memastikan kemenangan BN," sambung beliau yang juga merupakan Naib Presiden PAS.

Dalam pada itu, beliau turut merasakan mengadakan PRK sebelum bajet, SPR juga perlu mengelakkan berlaku gangguan kepada pemilihan Umno dan Muktamar PAS yang telah tertangguh sebelum ini.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Ramli berharap SPR dan kerajaan mengambil kira kos perbelanjaan PRK kali ini dan tidak mengulangi apa yang berlaku pada PRK Kuala Besut.

Katanya, perbelanjaan yang dikeluarkan oleh pihak polis melebihi RM8 juta dan nisbah setiap anggota polis dengan jumlah pengundi adalah tidak munasabah.

"Kerajaan dan SPR perlu elak pembaziran pada PRK kali ini, pada PRK Kuala Besut kita melihat pembaziran yang ketara dengan kos yang cukup besar."

"Ini akan memberi sedikit ketidakselesaan kepada pengundi, saya harap ia tidak akan berulang lagi. Perbelanjaan yang berhemat perlu dilakukan," kata beliau.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment