KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Rakyat mengucapkan salam takziah kepada ahli keluarga bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak yang kembali ke rahmatullah pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui laman facebook beliau menyifatkan Ustaz Azizan sebagai seorang sahabat dan pemimpin PAS yang mempunyai semangat juang yang gigih serta berjasa kepada parti.

"Innalillah.... Allahyarham Ustaz Azizan mantan MB Kedah, sahabat dan pemimpin Pas, pejuang gigih yang berjasa. Moga Allah cucuri rahmat ke atas rohnya," jelas Anwar melalu laman facebook.

Bagi Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail pula, khidmat dan jasa Tan Sri Azizan sebagai Menteri Besar yang menerajui kerajaan Pakatan Rakyat di Kedah dari 2008 hingga 2013 akan sentiasa dikenang.

"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman," ujarnya dalam satu kenyataan.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang turut mengucapkan takziah kepada keluarga bekas Menteri Besar Pakatan Rakyat Kedah.

"Deepest condolences to family of former Kedah Pakatan Rakyat Mentri Besar Tan Sri Azizan Abdul Razak on his passing," petik beliau melalui twitter.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng bagi pihak kerajaan negeri, melahirkan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak.

"Mengenali Allahyarham Tan Sri, beliau merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan disegani ramai. Sekali lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri," ujarnya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang juga mengucapkan takziah juga masih terkenang ketika bersama Allahyarham Azizan ketika persidangan Menteri Besar Pakatan Rakyat pada tahun 2010.

Beliau menyifatkan Azizan merupakan seorang tokoh yang banyak berjasa kepada masyarakat.

"Kenangan bersama Allayarham Tan Sri Azizan Abdul Razak sewaktu Persidangan Menteri Besar Pakatan Rakyat 2010."

"Moga Allah cucuri rahmat ke atas roh beliau dan kurniakan maghfirah buat tokoh yang telah banyak berjasa kepada masyarakat ini. Al-Fatihah," ucap beliau melalui facebook.

Jenazah almarhum akan disolatkan di Markas PAS Kawasan Pokok Sena, Jalan Langgar dan dikebumikan di Muasasah Darul Ulum, di sini selepas solat Asar.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment