KUALA LUMPUR: Isu kenaikan harga petrol awal bulan lalu menjadi subtopik perbincangan hangat di Dewan Rakyat, sempena perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2013 hari ini.

Di pihak BN, pihak menteri berkali-kali menegaskan ianya bukan kenaikan harga minyak tetapi pengurangan subsidi dan resionalisasi subsidi demi menstabilkan ekonomi negara.

Amalan memberi subsidi khususnya terhadap petrol ini juga menurut pihak kerajaan adalah seauatu yang tidak baik kepada jangka panjang ekonomi negara, dan ianya turut menguntungkan golongan kaya.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata, biarpun kerajaan telah membuat penjelasan tetapi ianya telah 'dispin' dengan baik oleh pihak pembangkang.

Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat), ketika membahaskan soal subsidi ini berkata, istilah 'rasionalisasi subsidi' dan apa juga istilah lain, sebenarnya hanya cuba memperbodoh rakyat.

Ini kerana hakikatnya, rakyat khususnya golongan miskin sedang merasai harga minyak naik dan kesan berantai darinya.

"Kita mintak kerajaan membentangkan kertas putih tentang konsep subsidi ini yang didakwa ianya tidak baik (untuk diteruskan)."

"Kita ingin mengetahui secara terperinci butiran dan kreterianya," katanya.

Sementara itu, Datuk Mahfuz Omar (PAS-Pokok Sena) menyifatkan tindakan kerajaan mengurangkan subsidi petrol atas alasan tidak mahu ianya turut dinikmati golongan kaya, sebagai tidak tepat.

Katanya, apa yang berlaku adalah  golongan rakyat berpendapatan rendah lebih terbeban dengan tindakan terbaru kerajaan menaikkan harga minyak itu.

"Kerajaan memberi alasan pemotongan subsidi ini akan disalur dalam bentuk lain seperti BR1M dan sebagainya kepada golongan miskin."

"Tetapi hakikatnya, duit 20 sen seliter yang dipotong itu turut dipotong dari rakyat miskin. Maknanya kerajaan ambil dari poket rakyat miskin dan bagi balik dalam bentuk lain seperti BR1M ini."

"Ini taktik penipuan cukup licik terhadap rakyat," katanya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment