NGO tuntut siasat kaitan pemimpin BN dengan gengster

Sebuah NGO hari ini membuat laporan polis berhubung kewujudan sepucuk surat yang mendakwa tiga pemimpin BN hadir dalam sebuah majlis anjuran kumpulan kongsi gelap 'Geng 36'.

Anggota Tamilar Action Force S Murali, yang menjumpai surat itu di Facebook, mendesak polis menyiasat kesahihan dakwaan itu.

NONEMurali berkata, siasatan itu wajar dilakukan kerana 'Geng 36' merupakan kumpulan haram.

Menurut surat itu, yang diedarkan kepada media oleh Murali, acara itu berlangsung di The Mines, Seri Kembangan pada 3 Disember 2011, melibatkan antara 6,000 hingga 7,000 orang.

Kecuali seorang pemimpin MIC, Malaysiakini tidak menyebut nama pemimpin terlibat sementara menunggu reaksi masing-masing.

Sementara itu, Ketua Pemuda MIC T Mohan, yang dinamakan dalam laporan polis itu mengesahkan bahawa beliau hadir ke acara itu tetapi tidak tahu jika penganjur mempunyai hubungan dengan dunia kongsi gelap.

Beliau percaya ia dianjurkan oleh Kelab Sukan dan Rekreasi Kajang dan mendapat lampu hijau daripada polis.

"Saya tidak tahu jika mereka (penganjur) kongsi gelap. Polis dialu-alukan menyiasat perkara itu," katanya yang sering diundang ke majlis anjuran NGO.

Mohan berkata, terdapat kemungkinan surat itu dibuat oleh pihak yang cuba mempengaruhi pemilihan jawatankuasa kerja pusat MIC yang akan datang.

Sumber Berita Dari MalaysiaKini

No comments:

Post a Comment