Nazri setuju pandangan Jazlan, rakyat muak dengan Umno

OLEH DIYANA IBRAHIM

Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (gambar) menyokong kenyataan Ahli Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed yang menyatakan masyarakat sudah muak dengan Umno.

Menteri Pelancongan dan Kebudayaan itu berkata sudah tiba masanya Umno melakukan perubahan sekiranya ingin terus kekal relevan kepada masyarakat.

"Setiap calon sepatutnya menolak meraih undi populariti sekiranya mereka tidak melakukan apa-apa untuk kawasan mereka dan rakyat," katanya dalam satu sidang media selepas Pra Pelancaran Malaysia Tourism Hunt 2013 di Kuala Lumpur.

Terdahulu Jazlan yang  mengumumkan akan bertanding merebut jawatan Ahli Majlis Tertinggi (MT) pada pemilihan Umno akan datang menyelar parti itu dengan  berkata, masyarakat sudah muak dengan apa yang berlaku dalam Umno.

Katanya, hasratnya kali ini untuk bertanding adalah bagi meneruskan perjuangan Umno dan usaha untuk meremajakan parti.

"Masyarakat dah muak dengan apa yang berlaku dalam Umno. Dahulu sebelum pilihan raya umum berjanji untuk melakukan perubahan, tetapi sehingga kini masih belum ada yang berubah,” katanya.

Menurut Nazri lagi, amat penting bagi Umno untuk kembali menilai parti itu agar terus relevan.

"Pemilihan Umno sudah diadakan banyak kali dan kita perlu belajar dari kelemahan yang penting kita tidak terlalu tamak untuk merebut jawatan," katanya lagi.

Katanya, calon sebenarnya perlu menawan hati pengundi di peringkat bawah kerana populariti dalam Umno tidak akan menjamin kemenangan dalam pilihan raya.

"Seperti sebelum ini ramai juga pemimpin Majlis Tertinggi (MT) seperti Dr Ahmad Puad Zakashi dan Datuk Saifuddin yang menang populariti dalam Umno tapi kalah masa pilihan raya," katanya.

Beliau juga turut menyokong Umno kini perlu memberi ruang kepada pemimpin-pemimpin muda.

"Saya setuju 100 peratus tampilkan pemimpin muda yang baru ini seperti 're genarasikan' semula parti bagi pemimpin lama mereka boleh juga datang tapi memerhati saja," katanya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment