Masjid Derga - Tanah wakaf kubur pun orang dah bina rumah

Tanah kubur semakin sempit


ALOR SETAR - Kepadatan penduduk di sekitar Bandaraya Alor Setar kini menimbulkan masalah apabila Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Irfan atau lebih dikenali dengan nama Masjid Derga, dikatakan semakin sempit dan terhad.

Kedudukan tanah perkuburan yang terletak di tengah bandaraya itu dikatakan antara punca tanah perkuburan tersebut tidak dapat menampung jumlah keperluan penduduk.

Ahli Jawatankuasa Masjid Al-Irfan, Azizan Hashim, 59, berkata, tanah perkuburan itu sudah beroperasi kira-kira lebih 100 tahun.

Menurutnya, selain jenazah dari anak kariah, pihak pengurusan masjid dahulu turut ‘membuka pintu’ kepada anak kariah dari tempat lain sehingga menyebabkan tanah perkuburan seluas dua hektar itu semakin sempit.

"Masalah bertambah serius apabila tanah wakaf perkuburan ini turut di dibina perumahan menyebabkan keluasan tanah perkuburan yang diwakafkan terhad."

"Ada dalam kalangan waris sanggup membina tembok di perkuburan ini menyebabkan sukar untuk diruntuhkan. Sebenarnya masalah ini bukanlah dari arahan pihak masjid tetapi agama Islam sendiri melarang waris menaikkan sebarang pembinaan kekal di tanah perkuburan," katanya.

Katanya, pihaknya menggesa waris yang mengebumikan jenazah di situ dapat merobohkan sebarang pembinaan supaya tanah perkuburan itu dapat digunakan sehingga generasi akan datang dan tidak berlaku lagi jenazah dikebumikan secara bertingkat-tingkat.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Abdul Hadi Awang, 57, berkata, bagi mengatasi masalah kesempitan berkenaan, pihak pengurusan kini akan menguatkuasakan dengan hanya anak kariah di situ sahaja yang berhak dikebumikan di tanah perkuburan itu.

Menurutnya, pihak pengurusan  juga melarang sebarang pembinaan di kubur oleh waris supaya masalah kesempitan ruang dapat diatasi.

“Kami juga mendesak pihak yang menceroboh tanah wakaf ini dengan mendirikan rumah supaya berpindah atau merujuk kepada pihak pengurusan masjid,” katanya.

Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment