TEMERLOH: PAS melihat karenah kerajaan menyeru para peniaga tidak menaikkan harga barangan khususnya makanan ekoran kenaikan harga minyak sebagai sesuatu yang membinggungkan.

Bagi Ketua Penerangan PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, kalau kerajaan tidak mahu peniaga menaikkan harga barangan, elok kerajaan jangan menaikkan harga minyak kerana peningkatan kos akhirnya terpaksa ditanggung oleh rakyat.

"Apakah kerajaan BN lupa apa yang terjadi di 2010, di mana mereka membuat keputusan untuk membuat kenaikan 5-dalam-1, yakni RON95, RON97, diesel, gula dan juga gas cecair memasak."

"Ketika itu, PEMANDU juga telah mengeluarkan kertas “Subsidy Rationalisation Factsheet1” untuk menunjukkan bahawa impak kenaikan itu akan mempunyai kesan minima pada harga makanan,” kata Tuan Ibrahim.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hasan Malek yang berkata kenaikan harga minyak hanya akan menyebabkan harga makanan meningkat 0.1 peratus.

Hasan turut dilaporkan berkata kementerian “tidak melihat apa-apa sebab untuk mereka (para peniaga) untuk menaikan harga makanan sebagai kesan dari kenaikan petrol.”

Tuan Ibrahim menyifatkan kenyataan Hasan amat mengelirukan dan ada unsur penipuan.

Menurut beliau lagi, pada tahun 2010 itu juga, PEMANDU mendakwa harga secawan teh tarik dan kopi susu yang berharga RM1.20 hanya akan meningkat kurang daripada 0.8 sen, iaitu hampir ke RM1.21 secawan dengan program pengurangan subsidi kerajaan.

“Tapi, manalah ada penjaja yang akan meningkatkan harga secawan teh tarik mahupun kopi tarik pada kadar 0.8 sen atau 0.83%?” selar Tuan Ibrahim.

Berdasarkan kenyataan Hasan yang berkata harga makanan hanya akan meningkat 0.1% berdasarkan kajian kementeriannya, Tuan Ibrahim berkata harga teh tarik yang asal berharga RM1.20 secawan kini akan menjadi RM1.2012.

“(Tapi) bagaimana penjaja nak kenakan harga itu? Jika penjaja naikkan harga sebanyak 10sen, peratusan itu pun sudah mencapai 8.3%.Kata ada penjaja yang sanggup naikkan pada kadar minima 5 sen (kerana syiling 1 sen tidak wujud lagi), peratusan itu adalah 4.15%."

"Oleh itu, PAS menyarankan kerajaan BN untuk berhenti menipu rakyat,” tegas beliau.

Pesuruhjaya PAS Pahang itu turut berkata peningkatan kos bahan api seperti RON95 dan diesel akan meningkatkan kos pengangkutan yang akan dibiayai para pengguna pada akhirnya.

“Dan sudah tentu kadar itu akan melebihi 0.1% seperti yang “dibuktikan” oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan,” sindir beliau.

Semalam Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA) telahpun mula menggesa kos tambang dinaikkan sejajar dengan peningkatan harga minyak.

Sebuah syarikat kontena, Taipanco Sdn Bhd pula dilaporkan akan menaikkan kadar surcharge bahan api.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment