TEMERLOH: Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, kerja-kerja pembinaan Lebuh Raya Rakyat akan bermula awal tahun 2014 dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, projek sepanjang 73 kilometer itu akan dibuat dalam dua fasa di mana Kerajaan Negeri Kelantan melalui sebuah syarikat yang beroperasi di Dubai akan membinanya dari Machang ke Kuala Krai dengan anggaran kos sebanyak RM669 juta.

(Gambar: Mohd Amar melancarkan montaj Gerak Kerja PAS Kuala Krau.)

Manakala Kerajaan Persekutuan pula telah bersetuju untuk membina lebuh raya yang sama dari Kota Bharu ke Machang melalui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC).

“Menjadi harapan Kerajaan Negeri Kelantan dengan siapnya lebuh raya ini dapat menyelesaikan masalah kesesakan melampau yang sudah bertahun-tahun,” katanya yang juga AJK PAS Pusat kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Krau di Darul Hikmah, Kerdau di sini semalam.

Mohd Amar berkata, cadangan projek Lebuh Raya Kota Bharu ke Kuala Krai telah dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan dalam Rancangan Malaysia Kelima pada tahun 1986  tetapi tidak dilaksanakan.

Kemudian pada 2006 projek tersebut sekali lagi disenaraikan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan namun dibatalkan tanpa alasan yang munasabah walaupun peruntukan sudah disediakan.

Akhirnya pada 2011 projek ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri Kelantan melalui Mesyuarat Exco dan upacara pecah tanah telah dilakukan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 28 Mei 2012 di Machang.

Beliau sebelum itu diberi penghormatan melancarkan montaj Teras Gerak Kerja PAS Kuala Krau 2013-2015 yang bertema ‘Keluargaku Ahli PAS’.

Melalui gerak kerja tersebut, setiap ahli PAS di kawasan itu diminta mendaftarkan anak-anak mereka sebagai ahli PAS iaitu sebagai strategi dan komitmen yang dicapai bagi persediaan menjelang Pilihan raya Umum ke- 14.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment