KOTA BHARU: Menyedari menutup aurat yang wajib dijaga bukan hanya kaum hawa sahaja sebaliknya kaum adam juga, Kerajaan Kelantan telah melancarkan ‘Kota Darulnaim sebagai zon menjaga aurat’ untuk semua kakitangannya.

Pengerusi jawatankuaa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat negeri, Mumtaz Md Nawi, berkata memandangkan kakitangan kerajaan negeri di bawah tanggungjawab pimpinannya, mereka wajib mematuhi arahan itu bagi menyelamatkan antara keduanya di akhirat nanti.

“Memang keimanan bukan dapat dinilai dari pakaian seseorang tetapi orang yang beriman akan terzahir keimanannya melalui pakaian yang menutup aurat."

“Apa yang ditekankan oleh kerajaan negeri dalam bab menutup aurat hanyalah mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Islam untuk penganutnya,” ujarnya.

Beliau berkata, demikian ketika berucap melancarkan zon menjaga aurat dalam kawasan kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.

Menurutnya, dalam tempoh 20 tahun pentadbiran Kerajaan Kelantan yang menekan amalan menutup aurat pada kaum hawa, kini kerajaan negeri menekankan perkara yang sama pada kaum adam.

Jelasnya, memang kakitangan lelaki Kota Darulnaim telah mematuhi piawaian dalam menjaga aurat dan mengikut etika berpakaian sebagai kakitangan awam.

Bagaimanapun, tambahnya ketika bersukan mereka gagal mematuhi tanggungjawab itu.

“Kita kena ingat, etika berpakaian bukan sahaja wajib dipatuhi pekeliling yang telah diedarkan oleh kerajaan melalui Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/1993, sebaliknya pekeliling Allah yang terkandung dalam al-Quran wajib dipatuhi,” ujarnya.

Jelasnya, sebagai ketua keluarga yang mempunyai tanggungjawab terhadap anggota keluarganya, begitu juga kerajaan mempunyai tanggungjawab yang sama terhadap kakitangannya.

Semoga dengan pelancaran ini, katanya kakitangan kerajaan negeri sama ada lelaki atau wanita memahami konsep menutup aurat sebenar menurut syariat.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment