Mahfuz menyerahkan cenderamata kepada Tuan Guru Mohd Baqi yang melepaskan jawatan YDP.

MARAN: “Jangan masuk PAS hanya untuk mencari peluang, tetapi carilah peluang untuk membantu perjuangan PAS. Jangan masuk PAS kerana mencari habuan, tetapi carilah habuan untuk membantu PAS,” kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu menyatakan demikian kepada kira-kira 300 perwakilan sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Maran kali Ke-33 semalam di Dewan Orang Ramai Felda Jengka 4, di sini.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, walaupun terasa penat selepas tewas Pilihan Raya Umum (PRU) lalu ataupun tidak berjaya memerintah Putrajaya, namun perjuangan mesti diteruskan.

“Anggaplah PRU ibarat R&R (rawat dan rehat) iaitu tempat persinggahan, bukan perhentian. Kita mesti teruskan perjalanan yang panjang iaitu menuju destinasi mardhatillah,” tegasnya.

Mahfuz yang juga Pesuruhjaya PAS Kedah berkata, walaupun PAS bersama Pakatan Rakyat (PR) belum berjaya memerintah Putrajaya pada PRU lalu namun dapat lihat keresahan pemimpin Umno dengan keputusan tersebut.

Tambahnya, kejayaan mereka  bukannya daripada sokongan tulen daripada pengundi Melayu tetapi sokongan Melayu hanya kesan dan berdasarkan kepada ketakutan akibat kempen-kempen perkauman oleh Umno.

“Propaganda dan kempen jahat membuatkan rakyat dibayangi rasa takut akibat disogokkan dengan dengan kempen perkauman melampau kalau PR menang kononnya negara akan terlepas kepada bangsa asing."

“Saya percaya orang Melayu mulai sedar mereka tertipu. Sebab itulah kita dapat lihat Ketua Wira Perkasa yang meminta (Datuk Seri) Najib meletak jawatan Perdana Menteri yang didakwanya gagal. Begitu juga dengan Tun Dr Mahathir yang tidak henti-henti menyerang Najib,” ujarnya.

Katanya, keadaan ini kontradik dengan apa yang berlaku sebelum PRU.

Justeru, Mahfuz mahu mulai sekarang orang Melayu perlu diberi pendidikan politik supaya mereka tidak mudah ditipu dan di sinilah PAS perlu berperanan.

“PAS perlu diperkuatkan bagi menjadi benteng kekuatan umat Islam di rantau ini sehingga agama Allah terus dijunjung dan akhirnya dimartabatkan. Sentiasalah meremajakan PAS supaya terus relevan dan diterima oleh generasi baru,” katanya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment