Goreng pisang pun guna RON95!

TOK PERAK
*MINYAK naik 20 sen seliter. Kerajaan kata ini tidak akan membebankan rakyat. “Ia tidak memberi kesan drastik kepada kos perniagaan, hanya sekitar 0.1 hingga 1.3 peratus sahaja,” kata Datuk Hasan Malek, Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.
Pengusaha pengangkutan pula kata, kenaikan tersebut membebankan. Mereka menjangka akan menaikkan kos pengangkutan @ tambang antara 5 hingga 30 peratus. Akhirnya rakyat biasa yang akan membayar lebih.
Hasan kata, peniaga tidak boleh sesuka hati menaikkan harga barang dan perkhidmatan melebihi 1.3 peratus. Tetapi sejarah membuktikan walaupun minyak naik satu peratus, barang naik lebih 10 peratus.
Contoh paling mudah ialah nasi lemak yang menjadi makanan kesukaan ramai rakyat. Kalau sebelum ini harga sebungkus RM1, ia boleh dinaikkan tidak lebih 1.3 peratus @ lebih kurang RM1.02 sen.

Tetapi, penjual nasi lemak akan naikkan paling tidak pun 5 sen sebungkus, sebab sekarang mana ada orang pakai duit sesen-sesen. Malah, tidak menghairankan kalau ada yang naikkan harga nasi lemak 10 sen, mungkin juga 20 sen.
Lagi pun nasi lemak, juga makanan popular lain – roti canai, tose, yong taufu, karipap, apam balik – bukan barang kawalan. Peniaga boleh naikkan harga atas alasan minyak naik. Hatta goreng pisang, goreng cempedak, goreng keledek pun akan naik harga walaupun makanan itu digoreng menggunakan minyak masak, bukan pakai minyak RON95.
Menteri kata, pihaknya akan melakukan penguatkuasaan secara menyeluruh di kawasan-kawasan tertentu yang terdapat laporan kenaikan harga barang, “dan tidak teragak-agak mengenakan tindakan tegas terhadap mereka, termasuk mengikut Akta Kawalan Harga dan Akta Pencatutan 2011.”
Selalu sangat kita mendengar ayat klise seperti ini. Akan bertindak tegas, ada akta itu, akta ini. Tetapi apabila barang betul-betul naik, dan orang ramai mengeluh lagi gelisah, tidak ada pun tindakan ke atas peniaga.
Malah jangan terkejut sekiranya nanti ada menteri yang berkata: “Jika nasi lemak dan roti canai naik harga, boikot! Ganti makanan lain!” Kata-kata ini pun selalu kita dengar.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment