Dewan Rakyat gamat pembangkang bangkit Kertas Putih Lahad Datu

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Sesi persidangan Dewan Rakyat di Parlimen hari ini gamat apabila ahli Parlimen Sepang dari PAS Mohamed Hanipa Maidin (pic) membangkitkan isu Kertas Putih yang dijanjikan kerajaan berkaitan insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Pertanyaan daripada Hanipa kemudiannya menerima reaksi negatif daripada ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang mencetuskan kekecohan sebelum sesi sidang tamat jam 9.45 malam.

"Kita nak tahu bila kerajaan ingin umumkan Kertas Putih Lahad Datu. Antaranya kita dengar mereka-mereka yang menyerang adalah rakyat kita, ada kad pengenalan," kata Hanipa yang kemudiannya ditemplak ahli-ahli Parlimen BN.

"Kalau kerajaan rasa ini bukan rakyat Malaysia bentang Kertas Putih, supaya rakyat tahu. Kalau macam tu tentera yang bunuh rakyat Malaysia, sebab itu kita nak tahu," soalnya kepada Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri ketika sesi pembentangan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan malam tadi.

Abdul Rahim kemudiannya dilihat mengelak untuk menjawab pertanyaan berkenaan, sebaliknya berkata kes berkenaan sedang dibicarakan dan menjadi subjudis jika ianya dibincangkan di Dewan Rakyat.

"Kes itu sekarang sedang dibicarakan di bawah SOSMA, menjadi subjudis jika kita bangkitkan, bila sudah selesai kita ambil tindakan jika difikirkan perlu," katanya, merujuk kepada Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.

"Apabila mempersoalkan tindakan mereka (tentera) itu umpama memperlekehkan khidmat mereka kepada negara," kata Abdul Rahim, yang juga ahli Parlimen Kudat.

Jawapan Abdul Rahim itu kemudiannya dibalas oleh ahli Parlimen Subang dari PKR R. Sivarasa yang berkata kerajaan seharus menggunakan logik sebelum menggunakan istilah subjudis berkenaan.

"Kalau kita ambil logik, kerajaan takkan buat apa-apa, kalau kita pakai hujah subjudis, benda ini akan berlanjutan."

"Saya tanya pada menteri, kita kena pakai logik pada hujah itu, bila kita akan dapat dengar tentang Kertas Putih ini."

"Kita kena faham apa prinsip subjudis. Kita takkan ganggu apa yang berlaku di mahkamah. Jadi ia tiada kena mengena dengan subjudis," kata Sivarasa.

"Ia baik untuk kerajaan dan rakyat," tambahnya.

Pertanyaan Sivarasa itu kemudiannya dijawab oleh Abdul Rahim, dan berkata, "Ia bergantung kepada nasihat oleh Peguam Negara."

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment