DAP teruskan pemilihan Ahad ini, mahkamah tolak injunksi ahli

OLEH DIYANA IBRAHIM

Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP ditemubual pemberita di luar mahkamah. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 September, 2013. 
 Lim Guan Eng dan beberapa pemimpin DAP ditemubual pemberita di luar mahkamah. Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 27 September, 2013.
 
Pemilihan khas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP akan berlangsung seperti dijadualkan Ahad ini selepas lampu hijau diperolehi daripada mahkamah hari ini.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng untuk mengenepikan saman dan injunksi oleh Bekas Naib Pengerusi Cawangan DAP Ladang Paroi, A David Dass yang mendakwa ahli parti tidak diberikan notis 10 minggu untuk mengadakan pemilihan.

Hakim Datuk Rosnaini Saub membenarkan permohonan Lim mengenepikan saman Dass dengan kos.

Beliau juga memfailkan injuksi untuk menyekat DAP daripada meneruskan pemilihan semula CEC Ahad ini.

Dass menamakan Lim dan parti DAP sebagai defendan.

Selepas kes tersebut difailkan, Lim turut memfailkan permohonan untuk mengenepikan tuduhan Dass berasaskan alasan mahkamah tidak mempunyai kuasa untuk mendengar kes mengikut Seksyen 18 (C) Akta Persatuan 1966 yang menyatakan sebarang keputusan dibuat parti politik melibatkan hal ehwal sewajarnya adalah muktamad dan tidak boleh dicabar.

Sejurus selepas Mahkamah Tinggi membenarkan DAP mengadakan pemilihan khas ahli jawatankuasa pusat (CEC), Lim Guan Eng menggesa Ketua Pendaftar Pertubuhan (RoS) meletak jawatan.

Menurut Lim, Datuk Abdul Rahman Othman tidak layak menerajui pertubuhan tersebut kerana tidak faham dengan undang-undang.

"Saya berasa kesal dengan tindakan beliau itu yang tidak habis-habis menuduh kita tidak ikut perlembagaan parti."

"Mahkamah sendiri memutuskan bahawa DAP di pihak benar, jadi jelaslah beliau ini yang tidak memahami undang-undang sebenarnya," kata Lim kepada media di lobi Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Lim berkata perbuatan Abdul Rahman itu tidak boleh dimaafkan kerana Ketua Pengarah tersebut sengaja ingin menghancurkan DAP atas perbuatan yang bermotifkan politik.

Malah, Lim juga menjangkakan walaupun keputusan mahkamah memihak kepada DAP, namun RoS tidak akan berhenti melancarkan serangan.

"Kita menjangkakan RoS tidak akan berhenti melumpuhkan DAP, kerana itu saya menyeru semua ahli parti datang beramai-ramai ke kongres untuk menghentikan tindakan RoS," kata Lim lagi.

Lim juga turut melahirkan kelegaan setelah mendengar keputusan dari Hakim Mahkamah Tinggi menolak injuksi A. David Dass membatalkan pemilihan CEC Ahad ini.

"Saya merasa lega dengan keputusan yang diberikan di mana undang-undang telah ditegakkan dan menunjukkan DAP tidak pernah bersalah."

"Kemenangan ini bukan hanya untuk parti DAP tapi seluruh rakyat yang mahukan proses demokrasi yang adil dan telus," Lim berkata.

Pada 30 Julai, RoS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan baru CEC, dengan menyatakan ia tidak puas hati dengan penjelasan "masalah teknikal" yang diberikan berikutan dakwaan berlaku manipulasi kertas undi melibatkan 547 perwakilan.

Pada 19 Ogos, Setiausaha Pengelola DAP, Anthony Loke mendakwa bahawa lebih 500 perwakilan DAP mengemukakan surat kepada ibu pejabat parti, dengan menjelaskan bahawa mereka menerima notis untuk mesyuarat itu tetapi tidak dapat hadir pada pemilihan CEC parti.

DAP pada mulanya menentang arahan RoS itu tetapi akhirnya patuh dan bersetuju mengendalikan pemilihan baru.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment