KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mendesak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) membuat penjelasan berhubung tiga daripada 49 kumpulan kongsi gelap yang diumumkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) merupakan pertubuhan yang sah.

Jelasnya lagi, tindakan tersebut turut membuktikan ROS tidak membuat penilaian dan penyelidikan yang sewajarnya dalam memberi kelulusan pendaftaran sesebuah pertubuhan.

"Kenyataan tersebut amat mengejutkan, bagaimana sebuah pertubuhan kongsi gelap itu boleh diberikan kelulusan pendaftarannya."

"Jelas sekali ROS tidak melakukan penyelidikan mahupun kajian dengan teliti apabila ada pertubuhan baru yang ingin mendaftar, kita mahu Ketua Pengarah ROS tampil memberi penjelasan atas insiden tersebut," jelasnya kepada Harakahdaily.

Dalam pada itu, Salahuddin turut melahirkan kehairanan apabila permohonan Pakatan Rakyat yang hampir masuk tahun kelima tidak diberikan kelulusan pendaftaran.

"Bermacam-macam alasan diberikan terhadap permohonan itu, tetapi untuk pertubuhan kongsi gelap begitu mudah kelulusan diberikan."

“Apakah motis di sebaliknya?" soal beliau.

Katanya, permohonan Pakatan Rakyat untuk didaftar sebagai sebuah parti adalah diizinkan oleh Perlembagaan Persekutuan bagi menyuburkan proses demokrasi negara dan jelas bukannya untuk menimbulkan huru hara di negara ini.

ROS dalam satu kenyataannya hari ini mengesahkan tiga daripada 49 kumpulan kongsi gelap merupakan pertubuhan yang sah dan pernah berdaftar dengan ROS.

Bagaimanapun Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Rahman Othman enggan mengumumkan nama kumpulan tersebut.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

No comments:

Post a Comment