KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan melantik Keith Collins sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Vestigo Petroleum dilihat sebagai menafikan hak keistimewaan anak-anak tempatan yang berpengalaman memegang jawatan tersebut.

Petronas dalam pengumuman sebelum ini melantik Keith Collins sebagai CEO yang akan berkuatkuasa pada 1 Oktober 2013.

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan keputusan tersebut sebagai menghina dan baginya negara ini mempunyai mereka yang berkelayakan untuk memegang jawatan tersebut.

"Saya melihat keputusan kerajaan melantik Keith Collins sebagai CEO sebagai menafikan serta menghina anak-anak tempatan yang mempunyai pengalaman dalam bidang ini."

"Kita mempunyai ramai mereka yang berpengalaman dalam bidang petroleum terutamanya yang bekerja di dalam Petronas yang memegang jawatan kanan di syarikat tersebut ataupun berada di luar negara."

"Kenapa kerajaan tidak melantik mereka, sebaliknya memilih individu yang bukan rakyat Malaysia memegang jawatan CEO di dalam Vestigo, adakah anak-anak tempatan tidak layak atau kerajaan tidak yakin dengan mereka," soal beliau pada sidang media di lobi Parlimen.

Mahfuz yang menegaskan sepatutnya kerajaan membuat penilaian yang khusus dalam perlantikan tersebut sebagai usaha menaikkan anak-anak Malaysia.

Malah katanya lagi, walaupun lantikan tersebut berkuatkuasa esok (1 Oktober) namun ia masih belum terlambat untuk membuat keputusan.

"Seharusnya dipertimbangkan semula keputusan tersebut, tidak ada masalah untuk memperbetulkannya."

"Hak anak tempatan perlu diutamakan, Keith bukannya warganegara ini. Pertimbangkan semula walaupun beliau akan memulakan tugas esok," sambung beliau.

Naib Presiden PAS itu juga turut melihat kewujudan Vestigo sebagai persaing kepada syarikat-syarikat di Malaysia.

Tambah beliau, sepatutnya Petronas Carigali Sdn Bhd membantu syarikat-syarikat tempatan dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan 'marginal field' terutamanya melibatkan syarikat-syarikat kerajaan negeri yang mempunyai minyak dipengairannya.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment