“Cengih” Azizan Razak digeruni kawan dan lawan

OLEH AMIN ISKANDAR, PENGARANG BERITA
BELASUNGKAWA: Pagi ini Malaysia dikejutkan dengan kematian bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak yang pernah memimpin negeri jelapang padi itu selama sepenggal dari 2008 hingga 2013.

Ust. Azizan meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada umur 69 tahun selepas menghadapi komplikasi jantung sejak dua hari lalu.

Bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Khalid mengesahkan kematian Azizan kepada The Malaysian Insider pagi ini.

Ketika diwawancara di Pejabat Menteri Besar dan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Wisma Darul Aman, Ust. Azizan pada waktu itu yang dikatakan sedang sakit kelihatan segar dan bersemangat.

Semasa ditanya penulis apakah janji yang bakal diberikan kepada pengundi Kedah menjelang PRU13, dengan bersahaja Ust. Azizan menjawab: “Tiada janji, kita tambah penambahbaikan sajalah.”

Dalam wawancara selama dua jam itu, Ust. Azizan kadang kala cengih atau “cengih” iaitu loghat utara yang merujuk kepada garang.

Kadang kala beliau membuat lawak jenaka sehingga penulis dan orang yang berada di sekeliling tertawa.

Dengan latar belakang pendidikan agama dan pengalaman mengajar di universiti tempatan dan luar negara, Ust. Azizan menjawab semua soalan yang ditanya dengan mudah.

Selepas wawancara itu, penulis tidak pernah mempunyai kesempatan melihat bekas menteri besar itu lagi.

Bagaimanapun, PAS yang dipimpin Ust. Azizan gagal mempertahankan negeri itu daripada Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Mukhriz Mahathir semasa PRU13 walaupun beliau berjaya mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau.

Mukhriz selepas itu menjadi menteri besar Kedah yang baru.

Setiausaha Perhubungan Umno Kedah, Datuk Othman Aziz dalam reaksinya terhadap kematian Ust. Azizan, berkata bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Limau itu sering meletakkan kepentingan negeri berbanding perbezaan politik.

“Tan Sri Azizan seorang yang berjiwa besar. Boleh bekerjasama dengan semua pihak tanpa mengira fahaman politik,” kata Ahli Parlimen Jerlun itu ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Setiausaha Perhubungan PAS Kedah, Senator Datuk Yusof Husin menganggap pemergian Ust. Azizan sebagai satu kehilangan besar bagi negara.

“Kerja Ustaz Azizan ini orang tidak dapat baca. Hanya orang yang rapat dengannya sahaja nampak wawasan dia."

“Walaupun orang kata, patah tumbuh hilang berganti, tapi tidak akan sama,” katanya.

Takziah diucapkan kepada seluruh ahli keluarga Ust. Azizan atas pemergiannya. Al-Fatihah.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment