Aktivis Berdemo Di Parlimen Bantah "ISA 2"


Aktivis hak asasi manusia hari ini mengadakan bantahan di perkarangan Parlimen terhadap pindaan Akta Pencegahan Jenayah (PCA) yang memperuntukkan penahan individu tanpa bicara.

Sambil membawa plakad "tarik balik PCA", "tarik balik akta zalim", kumpulan berkenaan turut menggelarkan akta berkenaan ibarat Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 2.0.

"Kita berkumpul hari ini adalah untuk membantah PCA. Kita tidak perlukan akta seperti ini untuk membanteras jenayah, cukup dengan menyediakan fasiliti kepada anggota polis untuk menentang jenayah berat," kata Datuk Ambiga Sreenevasan yang turut hadir dalam demonstrasi berkenaan.

"Kita meraikan pemansuhan ISA, namun kurang dari tempoh setahun akta seumpamanya diperkenalkan kembali," kata Pengerusi Bersama Bersih 2.0 itu lagi di hadapan kurang 50 peserta demonstrasi berkenaan.

Selepas sejam mereka berdemonstrasi di perkarangan Parlimen, wakil ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) kemudiannya membawa wakil daripada kumpulan aktivis itu ke dalam Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan mereka kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ambiga turut menjelaskan, negara-negara lain di seluruh dunia juga tiada akta khusus untuk membanteras jenayah.

"Mereka membantu polis dengan menaikkan gaji mereka. Bukan dengan akta," katanya.

Sementara itu, peguam Lawyer for Liberty, Fadiah Nadwa Fikri berkata, "Kita sekali lagi melihat kerajaan Malaysia gunakan akta untuk menghalalkan penahanan tanpa bicara bagi membanteras jenayah."

Antara wakil ahli Parlimen PR yang turut kelihatan adalah ahli Parlimen Padang Serai, N. Surendran, ahli Parlimen Kelana Jaya, Wong Chen, ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar, dan ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Yusoff, dan ahli Parlimen Gombak Mohamed Azmin Ali.

Selain Ambiga, antara wakil lain daripada kumpulan aktivis berkenaan yang dibenarkan memasuki Parlimen pula adalah Shukri Razab, Syed Ibrahim Syed Noh, dan Fadiah.

Setiausaha Bahagian Parlimen dan Kabinet KDN Muhamad Sade Mohamad Amin kemudiannya menerima salinan memorandum berkenaan mewakili Ahmad Zahid.

Sejurus menyerahkan salinan memorandum berkenaan, kumpulan aktivis itu bagaimanapun berkeras ingin menemui Ahmad Zahid ataupun timbalannya, dan mereka kemudiannya duduk di di lantai Parlimen.

Tindakan itu kemudiannya menimbulkan sedikit kekecohan apabila pegawai keselamatan Parlimen menasihatkan mereka agar tidak berbuat demikian.

Antara kandungan memorandum kumpulan yang menggelarkan diri mereka sebagai Gerakan Rakyat Tolak ISA 2.0 itu adalah Rang Undang-undang PCA itu tidak dibuat tanpa perbincangan menyeluruh dengan pihak berkepentingan.

"Amat mengejutkan apabila sebuah rang undang-undang yang mempunyai kepentingan awam dan memberi kesan yang begitu mendalam tidak melalui proses konsultansi yang telus dan menyeluruh," kata memorandum mereka.

"Pindaan ini dibuat tanpa rundingan dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Peguam dan masyarakat madani, apatah lagi apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini mengumumkan bahawa hari-hari kerajaan lebih mengetahui telah berakhir."

Jelas mereka lagi, Seksyen 19A dalam rang undang-undang berkenaan turut‎ memberi kuasa mutlak kepada Lembaga Pencegahan Jenayah untuk menahan tertuduh selama dua tahun tanpa perlu mendakwa.

"Perkara ini bercanggah dengan Perkara 10 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat yang mana menetapkan setiap orang dituduh mestilah mendapat hak untuk dibicarakan secara adil di mahkamah dan juga bercanggah dengan kedaulatan undang-undang.”

Selepas dua jam mengadakan demonstrasi di luar dan dalam Parlimen, Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wan Junaidi‎ Tuanku Jaafar kemudiannya menemui kumpulan berkenaan.

"Saya menerima memorandum ini bagi pihak Kementerian kerana menteri tiada di Parlimen," katanya kepada kumpulan berkenaan sejurus menerima memorandum tersebut.

Ditanya tindakan lanjut yang akan dilakukan kementeriannya, Wan Junaidi berkata, "saya tak boleh komen (tuntutan aktivis), keputusan bukan saya seorang, dan ‎saya masih belum baca memorandum ini lagi," katanya kepada pemberita.
 
Sumber Berita Dari Blog Kelab Greenboc

No comments:

Post a Comment