Agenda pemerkasaan Bumiputera diperkenal kerana sektor swasta tutup peluang

OLEH MD IZWAN

Datuk Seri Abdul Wahid Omar (gambar) mempertahankan agenda memperkasakan Bumiputera yang diumumkan kerajaan dengan menyalahkan sektor swasta sebagai punca langkah tersebut diambil.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri itu dipetik dalam wawancara eksklusif bersama akhbar kewangan The Edge berkata pihak tertentu salah tafsir terhadap pengumuman tersebut dengan mengatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak telah berpatah balik daripada Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkannya pada 2010.

"Sesetengah orang malangnya tersalah faham dengan mengatakan program memperkasakan Bumiputera adalah bertentangan dengan objektif MEB."

Abdul Wahid memberi alasan sebaliknya dengan mengatakan program memperkasakan Bumiputera selari dengan MEB memandangkan kumpulan tersebut masih ketinggalan jika dibandingkan dengan kaum lain.

"Dalam konteks ini, jika kamu lihat pada situasi Bumi, walaupun kita lihat penambahbaikan dalam pendapatan, ekuiti dan hakmilik hartanah sepanjang 40 tahun lebih ini, ia masih di bawah sasaran," kata Abdul Wahid.

Abdul Wahid menegaskan program tersebut adalah bertujuan untuk memberikan peluang yang seimbang meliputi semua perniagaan.

"Ini bagi memastikan bumi mendapat peluang yang adil," katanya lagi.

Bagaimanapun, Abdul Wahid masih dengan pendirian enggan mengakui kesilapan tersebut berpunca daripada pentadbiran Barisan Nasional (BN) sendiri, sebaliknya menegaskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) gagal kerana peluang yang terhad diberikan sektor swasta kepada Bumiputera.

"Daripada segi peluang kerja, sektor awam menyediakan 11% manakala sektor swasta 89%."

"Apa yang saya cuba katakan ialah wujud banyak peluang dalam sektor swasta tetapi malangnya hanya ahli perniagaan Bumiputera dan profesional merasakan mereka tidak diberi peluang yang adil dalam sektor swasta. Sebagai contoh, hanya sebilangan kecil Bumiputera diperingkat pengurusan atasan," terang beliau.

Menurut Abdul Wahid, program yang diumum oleh Perdana Menteri penting kerana sikap syarikat bukan Bumiputera yang enggan menerima produk daripada syarikat Bumiputera

"Ini adalah realiti yang mereka hadapi kerana syarikat bumi berkata mereka bergantung kepada projek kerajaan dimana ia 30% daripada 42% KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar)," ujarnya lagi.

Disamping itu, Abdul Wahid menggesa supaya sektor swasta memainkan peranannya supaya dapat memastikan pengagihan yang tidak seimbang ini ditangani dengan segera.

"Jika sektor swasta mainkan peranan dan menyediakan peluang perniagaan sama rata, progresnya akan lebih cepat," tambahnya.

Najib dalam pengumuman pemerkasaan ekonomi Bumiputera memperkenalkan lima langkah bagi memperkasa ekonomi Bumiputera yang wajar berikutan pegangan ekuiti korporat masih belum mencapai 30% dan golongan tersebut kini masih dalam tempoh transformasi sejak empat dekad lalu.

Namun, penganalisis mengkritik langkah diumumkan Najib tersebut yang dilihat tidak akan memberi impak besar dan lebih bertujuan memberikan hadiah kepada kumpulan tersebut yang membantu BN dalam memberikan kemenangan pada pilihan raya umum ke-13 lalu.

Penganalisis ekonomi terkenal, Professor Emeritus Datuk Dr Mohamed Ariff, berkata bantuan kewangan berasaskan kaum dan rancangan memperkasa Bumiputera akan tersasar matlamatnya seperti polisi terdahulu dan kaum Melayu akan lebih mendapat manfaat jika kerajaan memberinya kepada kumpulan miskin.

"DEB (Dasar Ekonomi Baru) lama digunakan dan kerajaan sewajarnya bergerak dengan dasar yang lebih berkesan daripada berasaskan kaum kepada yang lebih memerlukan."

"Peralihan dasar akhirnya akan memberi manfaat kepada orang Melayu kerana ia membentuk sebahagian besar 40% daripada isi rumah golongan berpendapatan rendah," katanya.

Pengkritik melihat pelan baru Najib itu bukan untuk membantu golongan Bumiputera sebaliknya lebih digunakan untuk membantu kroni mereka dalam Umno sahaja.

DEB diperkenalkan pada 1971 oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein bertujuan mencapai perpaduan negara dan integrasi nasional, kemudiaan digantikan dengan MEB yang lebih ke arah meritokrasi di samping mengekalkan keistimewaan ekonomi kepada Melayu yang menjadi asas utama dalam dasar DEB.

Pelaksanaan DEB bagaimanapun dilihat gagal untuk menaikkan taraf ekonomi kaum Melayu, malah sasaran untuk mencapai 30% ekuiti juga masih tidak tercapai sejak ia dilaksanakan dan kegagalan tersebut dikaitkan dengan masalah rasuah.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment