35 tahun dalam PAS, ini kempen paling teruk, kata Mat Sabu

Mohamad Sabu luah kebimbangan fenomena cara kempen PAS terkini. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2013.Mohamad Sabu luah kebimbangan fenomena cara kempen PAS terkini. Gambar The Malaysian Insider oleh Najjua Zulkefli, 26 September, 2013."Sepanjang 35 tahun saya berada dalam PAS iaitu sejak 1978, inilah kempen paling teruk pernah saya lihat," kata Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Katanya, apa yang berlaku dalam PAS sekarang amat mengejutkan terutama mengenai perubahan minda di kalangan ahli PAS.

"Saya terkejut dan hairan dengan perubahan minda ahli PAS terhadap muktamar dan kepimpinan parti," katanya dalam satu wawancara khas dengan The Malaysian Insider.

Pelbagai kempen dijalankan oleh ahli PAS termasuk dengan cara menyerang dan melabelkan pihak yang tidak dipersetujui oleh masing-masing dengan menjadikan Facebook, sms dan blog sebagai medan utama.

Mohamad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Sabu berkata, dalam PAS ada tatacara pemilihan walaupun tidak dilembagakan.

Katanya, ia menjadi satu kefahaman umum bahawa kempen terbuka tidak digemari dan tidak dizinkan walaupun tidak dilembagakan. Tetapi kini, katanya, ia sudah menjadi trend baru di kalangan ahli PAS.

"Saya sendiri sebagai ahli veteran kadang-kadang terpinga-pinga melihat perkembangan terbaru dalam parti ini," katanya.

Bagaimanapun, katanya, beliau berharap perkembangan ini bukan berpunca daripada unsur luar yang masuk menyerap ke dalam PAS atau cuba diambil kesempatan oleh pihak luar atas keterbukaan PAS selama ini.

Beliau berkata, perkara ini boleh dilihat sejak sebelum pilihan raya umum ke 13 Mei lalu lagi.

Ketika itu, katanya, sudah disebut di kalangan pimpinan dan ahli PAS orang ini layak memimpin, orang ini tidak layak, malah label juga diberikan kepada kepimpinan parti.

Mohamad berkata, “penyakit” sebegini sebelum ini dihadapi oleh Umno pada 1980-an iaitu label komunis diberikan kepada tokoh kepimpinan mereka.

"Abdullah Ahmad, Abdullah Majid dan Samad Ismail dilabelkan sebagai komunis. Tun Dr Mahathir pun nyaris ditangkap oleh Menteri Dalam Negeri ketika itu, Ghazali Shafie," katanya.

Kisah itu turut dinyatakan oleh bekas Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali melalui bukunya yang antara lain menyatakan soal siasat terhadap beliau menyelamatkan Dr Mahathir.

"Betul atau tidak hal kedua kerana yang penting label komunis boleh jejaskan seseorang untuk dipilih sebagai kepimpinan Umno," kata Mohamad. Sekarang ini, katanya, “penyakit” itu melanda PAS pula.

"Untuk menjatuhkan seseorang pemimpin PAS, pelbagai label diberikan. Paling popular ialah Syiah dan yang kedua liberal," katanya.

Beliau berkata, tuduhan itu bukan hanya menerusi laman web atau Facebook sahaja tetapi  dalam pertemuan yang dinamakan Liqa' Fikri.

"Saya rasa trend ini kurang sihat dan kami kepimpinan parti sedang memerhatikan perkara ini dan bagaimana langkah hendak diambil bagi mengatasinya," katanya.

Mohamad berkata, ketika beliau dalam Pemuda PAS dahulu, perbezaan pendapat sebegini juga berlaku tetapi tidak seteruk sekarang.

"Saya dahulu berbeza pendapat dengan (Datuk) Abu Bakar Chik dan Halim Arshat tetapi kami boleh duduk bersama dan membuat program menghadapi Umno," katanya.

Katanya, pertandingan dalam parti sepatutnya untuk dinilai bukan saling menyingkirkan dan melabelkan antara satu sama lain.

"Ini trendnya dan saya hairan bagimana ia muncul. Jika tidak ditangani dengan baik dalam masa terdekat kita bimbang masa depan PAS yang dilihat cemerlang sekarang ini akan kabur di masa depan," katanya.

Sumber Berita Dari The Malaysian Insider

No comments:

Post a Comment