MELAKA: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata amat bahaya jika tentera dan polis cenderung menyokong kepada sesuatu pihak dalam sesebuah negara.

“Tentera dan polis mesti menjaga keselamatan rakyat dan menjunjung Perlembagaan dan mereka tidak boleh berpihak kepada mana-mana parti atau kumpulan."

"Amat bahaya jika keadaan ini berlaku. Inilah yang terjadi di Mesir di mana tentera dan polis telah menyokong pihak tamarud dan menggalakkan mereka keluar membuat bantahan mengecam pentadbiran Presiden Morsi," ujarnya pada majlis ceramah membantah kekejaman kerajaan haram Mesir anjuran PAS Melaka di Dataran Kebangkitan Rakyat, Bukit Katil malam tadi.

(Gambar: Wakil Muslimat PAS Melaka, Kintan Man menyerahkan sumbangan untuk rakyat Mesir kepada Mohamad.)

Beliau berkata tentera sepatutnya tidak terlibat dengan rampasan kuasa dan membunuh rakyat sebaliknya mesti menjaga keamanan negara dan berusaha memastikan pertukaran kerajaan secara demokrasi.

"Presiden Morsi baru memerintah kira-kira setahun sudah tentu ada kelemahan dan kekurangan tetapi itu tidak bermakna tentera boleh merampas kuasa secara sewenang-wenangnya," tambahnya.

Sebelum itu Mohamad menerangkan dengan panjang lebar sejarah penubuhan dan perjuangan Ikhwanul Muslimin yang menurutnya amat dicemburui oleh puak sekular dan nasionalis.

"Semua pimpinan kanan Ikhwanul Muslimin ditangkap dan dipenjarakan, namun perjuangan mereka terus mendapat sokongan padu dari rakyat terutama mereka yang tinggal di bandar-bandar besar dan akses kepada maklumat," ujar beliau.

Turut berceramah pada program itu ialah Pesuruhjaya dan Ketua Dewan Ulama PAS Melaka, Adly Zahari dan Ustaz Zulkifli Ismail; Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong; Adun Bukit Baru, Dr Khalid Kassim dan Ketua Pemuda Ikram Melaka, Zairi Suboh.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment