Punca Guru Besar SK Seri Pristana Tidak DiKenakan Apa-Apa Hukuman Tersebar

Guru besar kontroversi SK Seri Pristana bebas daripada sebarang tindakan kerana "tidak melakukan kesalahan jenayah" apabila mengarahkan murid di sekolahnya untuk makan di bilik mandi sekolah.
Ini diputuskan dalam mesyuarat antara Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh dan Jabatan Pendidikan Selangor dalam mesyuarat pada Rabu.
Pengarah Pendidikan Selangor, Mahmud Karim memberitahu The Malaysian Insider, Mohd Nasir Mohd Noor (gambar) memikirkan keselamatan muridnya apabila mengeluarkan arahan untuk makan di bilik mandi semasa waktu rehat.
Katanya, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dimaklumkan berhubung perkara berkenaan dan tindakan penjaga yang mendedahkan insiden itu berlaku berikutan beliau tidak mendapat maklumat perbincangan itu.
“Ibu yang mendedahkan perkara berkenaan di laman sosial Facebook seharusnya mendapat penjelasan daripada pihak pentadbiran sekolah terlebih dahulu sebelum menyebarkannya kepada umum," katanya ketika ditemui di pejabatnya.
“Jabatan Pendidikan Selangor (JPS) menafikan dakwaan pelajar bukan Islam diambil gambarnya oleh pihak sekolah dan sehingga kini kami masih belum dimaklumkan kejadian itu.
“Pihak yang mendakwa guru SK Seri Pristana mendiskriminasi pelajar bukan Islam juga tidak benar. Perkara ini berlaku berikutan salah tanggapan penjaga dan tafsiran yang kurang tepat mereka terhadap pendidik sekolah itu,” katanya.
Beliau berkata, pendidik di negeri itu diingatkan supaya bertindak secara rasional dan sentiasa mengamalkan etika profesional.
“Penjaga juga digesa menghormati institusi pendidikan dan tidak memandang remeh institusi pendidikan negara."
“Dalam masa terdekat ini, JPS akan mengatur beberapa siri pertemuan dengan ibu bapa bagi menjernihkan kembali hubungan penjaga dan sekolah supaya sesi persekolahan dapat berlangsung dengan lebih harmoni,” katanya.
Katanya, PIBG sekolah berkenaan sentiasa mendapat maklumat dari pihak sekolah.
The Malaysian Insider melaporkan pada Rabu polis mengakui dakwaan beberapa pelajar SK Seri Pristana disoal-siasat berhubung kontroversi makan di dalam bilik persalinan.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Supritendan Junaidi Bujang, berkata pelajar berkenaan "disoal secara temuduga".
Junaidi berkata, polis diberikan kebenaran oleh guru besar sebelum memasuki kawasan sekolah dan diberikan masa 30 minit untuk menemuduga pelajar.
Katanya, temuduga dengan enam pelajar itu berjalan dalam kelas yang disediakan oleh guru besar.
Sebelum ini, Junaidi dilaporkan mengeluarkan kenyataan berbeza apabila menafikan menyoal pelajar terbabit.
Beliau memberi alasan pihak polis tidak mampu untuk menghubungi semua penjaga tersebut untuk meminta kebenaran sekiranya mahu menemuduga.
Dalam sidang media pada Selasa, beberapa ibu bapa mendakwa anak mereka mengalami trauma selepas disoal polis.
Ibu bapa kepada pelajar mendakwa sesi temuduga itu berjalan tanpa pengetahuan mereka.
Susulan penahanan itu, ibu bapa kepada sekurang-kurangnya 10 pelajar berkata mereka akan menukarkan anak mereka ke sekolah lain dari SK Seri Pristana selepas tiga ibu bapa melakukannya. - the malaysian insider

Sumber berita Dari Blog Addin

No comments:

Post a Comment