BERA: PAS Kawasan Bera kesal dengan respons Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana tidak memahami tujuan sebenar satu aduan yang dibuat berkaitan salah laku ketua tempat mengundi (KTM).

Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan, Musaniff Abdul Rahman (gambar) berkata, pada 29 Jun lalu PAS Kawasan Bera telah menghantar laporan berbentuk aduan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri Pahang berkaitan salah laku KTM yang tidak mengembalikan Borang 14 semasa Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lalu kepada agen PAS.

Beliau yang calon PAS Dewan Undangan Negeri (Dun) Guai berkata dalam aduan tersebut, PAS Bera menyatakan KTM telah menyalahguna kuasa dengan tidak menyerahkan borang laporan mengenai Penyata Keputusan Rasmi itu di N.37 Guai pada hari mengundi itu.

“Pada 30 Julai kami menerima suarat daripada SPR daripada Timbalan Pengarah SPR Pahang yang menyertakan bersama enam salinan Borang 14. Sedangkan aduan kami sebelum itu ialah memohon SPR mengenakan sebarang tindakan yang perlu terhadap KTM."

“Jadi lain yang kami adukan lain pula yang dijawap SPR. Borang 14 itu kami minta pada hari pilihan raya dulu. Itu yang kami kesalkan dengan respons ini,” katanya.

Menurut Musaniff, pada hari mengundi 5 Mei lalu sebanyak tiga kes tersebut berlaku (dalam Dun Guai) iaitu di Saluran 6 Pusat daerah Mengundi (PDM) Purun, Saluran 5 PDM Kumai dan Saluran 4 PDM Bukit kepayang.

Sedangkan merujuk kepada undang-undang pilihan raya, jika KTM tidak menyerahkan Borang 14, KTM bersalah di bawah Peraturan 25 (12) (b) (ii) PPP dengan hukuman penjara tidak lebih dua tahun atau denda tidak lebih RM5,000 seperti termaktub dalam Seksyen 4 (g) AKP.

“Berdasarkan kesalahan yang jelas ini, kami berpendapat sudah sampai masanya SPR melantik pegawai-pegawai pilihan raya di peringkat parlimen bekerja terus di bawah SPR, bukan lagi diambil dari kalangan kakitangan awam."

“Pada masa ini pegawai SPR hanya wujud di peringkat negeri. Ada kemungkinan petugas SPR yang diambil secara sambilan dari kalangan JPA, kurang mendapat latihan cukup termasuk dalam aspek undang-undang sebab ada kes petugas polling agent PAS yang membantu menunjuk ajar KTM,” katanya.

Bendahari PAS Pahang itu berkata, akibat langsung kepada calon jika Borang 14 tidak dikembalikan ialah berkemungkinan keputusan undi boleh diubah.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment