Abd Shukur Harun
BEBERAPA anak muda pendukung Ikhwan Muslimin Mesir menulis nama dan alamat keluarga di lengan mereka sebagai persediaan jika terkorban di tangan tentera, maka mudahlah keluarga mengenalinya.
 
Ini adalah gambaran keberanian luar biasa pendukung Ikhwan menentang rejim tirani tentera yang membunuh ribuan penyokong Presiden Mesir yang sah, Dr Mohamad Morsi di Medan Raba’a Adawiyah dan kawasan lain.

Menurut sebuah laporan, jumlah pendukung Ikhwan melebihi 50 peratus penduduk Mesir yang berjumlah 83 juta orang. Belum lagi jumlah ahli Ikhwan di negara Arab lain.
 
Apa yang berlaku di Mesir sekarang adalah siri tribulasi yang dialami oleh Ikhwan sejak ditubuhkan 80 tahun yang lalu dan terserlah lagi kehebatan ahli Ikhwan sejak berlaku rampasan tentera itu.

Pada Jumaat lalu demikian hebatnya ahli Ikhwan mempertahankan masjid di Medan Raba’a Adawiyah, tetapi akhirnya tentera membakar masjid itu dan ratusan orang tewas.

Hari berikutnya tentera menyerang pula Masjid Al-Fath di Ramsis dan membunuh ratusan lagi jemaah serta merosakkan masjid tersebut.

Pemimpin Ikhwan telah menyeru supaya semua ahli Ikhwan dan penyokong berhimpun di seluruh bandar di Mesir dalam apa yang dipanggil ‘Jumaat Yang Marah’. Arahan ini dipatuhi segera oleh mereka dan ketika rencana ini ditulis, berjuta-juta ahli Ikhwan sedang menuju di bandar-bandar besar untuk berhimpun. Beberapa pemuda Ikhwan memberitahu wartawan, “Kami sedang bersedia untuk syahid.”

Inilah keberanian dan tekad luar biasa pendukung Ikhwan.

Mereka sedang berjuang dengan darah dan air mata, pada ketika yang sama pemimpin dunia Arab yang kaya sedang bermewah-mewah dengan makan minum dan berhibur.

Dalam masa yang sama, Amerika telah memberi bantuan tahunan sebanyak AS$1.5 bilion, kebanyakannya untuk memperkukuh tentera Mesir, sementara Arab Saudi, Kuwait dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE) berjanji membantu Mesir sebanyak AS$12 bilion.

Inilah gambaran siapakah sebenaranya yang menentang Ikhwan dan rakyat Mesir yang menyokong Dr Morsi. Dalam masa yang sama Ikhwan menghadapi bukan saja rejim tentera yang selamanya memusuhinya tetapi juga golongan Kristian Koktip, golongan sosialis pendukung Gamal Abd Naseer, golongan Salafi dan golongan sekular yang lain.

Adapun pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat yang dilakukan oleh tentera Mesir pimpinan Abdel Fatah As-sisi adalah rancangan tentera untuk memulihkan kembali kuasanya seperti yang berlaku di zaman Gamal Abd Naseer, Anwar Sadat dan Hosni Mubarak.

Menurut rancangan, tentera akan kembali menguasai sepenuhnya kehidupan rakyat Mesir dan ia akan disokong oleh Amerika, Israel dan negara Arab yang kaya, justeru semua negara itu amat takut kepada Ikhwan.

Apa yang sangat menariknya, dalam kemelut Mesir ini, muncul dengan beraninya Perdana Menteri Turki, Recep Tayyip Erdogan menentang rampasan kuasa tentera Mesir dan menuntut Morsi dibebaskan dan dikembalikan sebagai Presisden Mesir yang sah.

Di samping itu, Turki juga telah membatalkan 26 perjanjian penting, termasuk perjanjian keselamatan dengan Mesir, suatu langkah yang memperlihatkan kemarahan yang amat sangat Turki kepada rejim tentera Mesir.

Dalam masa yang sama Erdogan menuntut Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu mengadakan segera sidang tergempar untuk membincangkan isu rampasan kuasa di Mesir yang disifatkan oleh Erdogan sebagai antidemokrasi dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat oleh tentera Mesir sendiri.

Erdogan mengambil langkah demikian ketika Liga Arab, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan kumpulan negara berkecuali membisu seribu bahasa dengan peristiwa di Mesir itu.

Hanya Kesatuan Negara Afrika yang mengutuk tentera Mesir.

Dengan perkembangan terbaru ini pelbagai kemungkinan akan berlaku, tetapi Ikhwan dengan pendukungnya yang puluhan juta banyaknya sudahpun bersiap sedia untuk menghadapi konfrantasi berlanjutan tentera Mesir.

Dalam hal ini mereka yang memahami Ikhwan, mengenali pemimpin dan ahli Ikhwan, membaca buku-bukunya, mendengar kuliahnya dan sebagainya sedar akan kekuatan luar biasa Ikhwan. Ia sentiasa bergerak sebagai badan dakwah, di samping berkhidmat di tengahtengah masyarakat Mesir selama 80 tahun. Ia mengadakan puluhan ribu madrasah, pusat khidmat masyarakat untuk golongan miskin dan sederhana, mengadakan hospital dan klinik rakyat, mengadakan badan perunding menangani krisis sosial dan rumah tangga, memberi bantuan kepada golongan miskin dari kota hingga jauh ke pedalaman dan pelbagai lagi. Inilah akar umbi kekuatan Ikhwan.

Dana yang mereka sediakan untuk semua khidmat masyarakat ini datang daripada sumbangan ahli Ikhwan sendiri yang terdiri bukan saja golongan peniaga, intelektual, kakitangan kerajaan dan swasta, tetapi juga daripada kalangan buruh.

Hari ini Ikhwan dianggap oleh Barat dan golongan sekular, termasuk di kalangan pemimpin negara umat Islam sendiri sebagai golongan radikal Muslim yang ditakuti atau dianggap oleh Israel sebagai ‘pengganas’. Pada hal ia sebagai gerakan Islam yang sangat cinta damai dan mengutamakan pendekatan sederhana.

Kenyataan pemimpin Ikhwan, termasuk Dr Morsi, mengesahkan hal ini bagi sesiapa yang meneliti ucapan beliau, terutama selepas dipilih sebagai Presiden Mesir yang sah dalam pilihan raya yang demokratik.

Begitu juga dengan kenyataan demi kenyataan Mursyidul Am Ikhwan serta pemimpin lainnya menggambarkan pendekatan yang sederhana dan mahu membina hubungan baik dengan dunia antarabangsa.

Kemenangan pendukung Ikhwan dalam pilihan raya yang lalu berhasrat membawa perubahan demi untuk kesejahteraan rakyat Mesir, bukan perubahan yang akan menimpakan keburukan seperti sangkaan golongan sekular dan mereka yang keliru.

Adapun dendam lama Amerika dan Israel serta golongan sekular yang memusuhi apa saja yang bernama Islam, terus menerus meletakkan label buruk kepada Ikhwan.

Bagaimanapun mereka yang memahami kekuatan dan keikhlasan Ikhwan yakin bahawa ia tidak akan dapat ditewaskan, justeru pergantungan Ikhwan kepada Ilahi sangat kuat dan Ikhwan ada di mana-mana.
 
Sumber Berita Dari Blog Kerengga

No comments:

Post a Comment