PERMATANG PAUH: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Datuk Saleh Man teruja dengan kehadiran orang ramai di majlis Rumah Terbuka Dun berkenaan, semalam.

Beliau dan Jawatankuasa Majlis Tindakan Dun bersama menyambut ketibaan orang ramai yang berpusu-pusu datang untuk bertemu Adun kesayangan mereka yang juga merupakan ‘anak tunggal’ PAS Pulau Pinang.

"Terima kasih kerana sudi hadir ke majlis rumah terbuka yang saya buat tahun ini. Saya rasa sungguh meriah bimbang takut makanan pula tak cukup," jelasnya.

Antara makanan yang dihidangkan oleh pihak cawangan PAS yang ada dalam Dun Permatang Pasir ialah laksa, bihun sup, mi kuah, ayam panggang di samping makanan yang popular sempena perayaan Aidil Fitri saban tahun seperti lemang, ketupat dan rendang.

Katanya, kehadiran rakyat sekaligus menggambarkan suasana muhibah terjalin erat sejak dahulu.

Walaupun sering dilempar tohmahan pihak lawan bahawa prestasinya merosot ekoran terlalu sibuk dengan tugasan kerajaan berbanding parti, namun semua itu dianggap satu cabaran.

Padahal jelasnya, semua tuduhan itu tidak berfakta sebaliknya sekadar mainan pihak musuh yang senantiasa mencari ruang untuk membentuk percakaran dalaman supaya PAS tidak maju ke hadapan.

"Yang peliknya orang kita pun termakan hasutan musuh. Kita harus faham persengketaan dalaman boleh memusnahkan impian PAS menambah kerusi pada masa akan datang," ujarnya.

Program berkenaan dihadiri oleh beberapa kepimpinan Pakatan Rakyat seperti Adun Penanti, Dr. Norlela Ariffin termasuk Exco Kebajikan negeri, Phee Boon Poh dan Exco Kerjaraya negeri, Lim Hock Seng.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment