Isu SK Seri Pristana: Apakah Muhyiddin Yassin masih layak menjadi Menteri Pendidikan?

_MG_6961
123IPOH, 28 OGOS: Ahli Parlimen DAP Ipoh Barat, M Kulasegaran mengkritik sikap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana mendiamkan diri dan seolah-olah tidak mahu bertanggungjawab dalam insiden yang berlaku di Sekolah Kebangsaan Seri Pristana baru-baru ini.

“Saya ingin bertanya kepadanya sama ada dia tidak mempunyai kuasa atau kejam atau kedua-duanya sekali dalam isu-isu yang berlaku di SK Seri Pristana?"

“Dia boleh memilih untuk berdiam diri, tetapi dia perlu menjawapnya apabila Parlimen bersidang kelak."

“Saya juga ingin bertanya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempunyai hak untuk melantik menteri-menteri, jika seseorang menteri itu mengabaikan perbuatan buli dan ugutan di sekolah-sekolah, apakah beliau masih layak menjadi Menteri Pendidikan?,” tegasnya dalam kenyataan, semalam.

Kulasegaran yang juga Naib Pengerusi DAP Kebangsaan berkata demikian merujuk kepada tiga isu berkenaan SK Seri Pristana tempohari.

SK Seri Pristana, Sungai Buloh baru-baru ini digemparkan dengan insiden pelajar bukan Islam telah ditempatkan oleh pihak pengurusan untuk makan di bilik persalinan pada bulan Ramadan.

Pemberi maklumat, Guneswari Kelly yang mendedahkan gambar kejadian itu telah menerima ugutan culik dan membuat laporan polis namun tidak ada sebarang tindakan diambil. Anak beliau kemudiannya menjadi mangsa buli rakan-rakan dan guru-guru sekolah.

Pengetua SK Seri Pristana, Mohd Nasir Mohd Noor selepas itu membuat laporan polis terhadap beberapa penjaga, beliau mendakwa tindakan itu sengaja dilakukan untuk mencetuskan ketegangan.

“Pihak polis telah menahan penjaga kepada pelajar SK Seri Pristana kerana didakwa telah memberi ancaman kepada pengetua sekolah dan dilaporkan akan disabitkan dengan kesalahan hasutan jenayah."

“Penangkapan itu telah menimbulkan kemarahan ramai yang ingin tahu bilakah ketidakadilan dan kezaliman sedemikian akan berakhir."

“Rakyat juga marah kerana tidak ada sebarang tindakan diambil sama ada oleh Kementerian Pelajaran atau polis,” katanya.

Kulasegaran menegaskan, kelambatan kementerian dan pihak polis akhirnya membuatkan masalah tersebut bertambah rumit sehingga menjejaskan pendidikan mangsa.

“Anak perempuan Guneswari telah menjadi tertekan dan malu dengan insiden itu, dia bukan saja menjadi mangsa buli rakan-rakan, malah dipulaukan.

Akibatnya, Guneswari memutuskan memindahkan anaknya ke sekolah lain untuk mengakhiri kekejaman psikologi yang dihadapi.

“Malangnya, tiada tindakan diambil terhadap pengetua atau guru-guru dan menteri pendidikan terus mendiamkan diri, Kementerian Pendidikan pula seolah-olah menganggapnya sebagai isu remeh. Kejadian buli dan ugutan seperti ini tidak boleh diterima."

“Polis juga langsung tidak memberikan sebarang penjelasan,” kesalnya.

-Roketkini.com

No comments:

Post a Comment