Syiah: Usaha halus pecahkan PAS

OLEH ZULKIFLI SULONG, PENGARANG ANALISIS DAN RENCANA
July 29, 2013
Tuan Ibrahim dan Mohamad Sabu...saling bantu membantu dalam PAS. - Gambar The Malaysian Insider oleh Timmy Say, 29 Julai, 2013.
Tuan Ibrahim dan Mohamad Sabu...saling bantu membantu dalam PAS. - Gambar The Malaysian Insider oleh Timmy Say, 29 Julai, 2013.Tuan Ibrahim dan Mohamad Sabu...saling bantu membantu dalam PAS. - Gambar The Malaysian Insider oleh Timmy Say, 29 Julai, 2013.
Analisis: Awal tahun 2012, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pergi ke beberapa negara Timur Tengah. Di sana beliau dan rombongan menyertai persidangan antarabangsa yang melibatkan gerakan Islam seluruh dunia.
"Kita mohon ahli PAS tidak termakan dengan fitnah dan berjaga-jaga dengan taktik jahat musuh untuk melaga-laga pemimpin dan ahli PAS dengan pelbagai label seperti ulama dan profesional, liberal, kumpulan Erdogan, UG mahupun Syiah.”
Sekembali dari lawatan itu beliau membuat satu catatan yang sangat bernilai tentang apa yang berlaku di Syria.
Bagi beliau, apa yang berlaku di Syria bukanlah pertembungan kerajaan Syria yang bermazhab Syiah dengan rakyatnya yang Sunni sebagaimana yang digembar gemburkan oleh sesetengah pihak di Malaysia.
"Pemerintahannya bersifat diktator bertopeng demokrasi, yang menekan rakyat dengan lesen yang diberi oleh kuasa-kuasa besar dunia di atas nama rakan strategik bagi keselamatan Israel yang dilindungi dengan cara paling istimewa."

"Syria mempunyai kedudukan yang agak berbeza dengan negara Arab yang lain, kerana tidak mengiktiraf Israel dan tidak mengadakan hubungan diplomatik dengannya."
"Syria juga menjadi pintu keluar bagi negara Iran yang dikepung, dalam masa yang sama mengizinkan buminya menjadi pangkalan bagi gerakan Islam Hamas dan Jihad Islami, serta pangkalan bantuan bagi Hizbullah yang berada di Selatan Lubnan."
"Hamas dan Jihad Islami bermazhab Sunni, tidak sama dengan Bashar Assad yang menganut mazhab Alawi. Begitu juga Republik Islam Iran dan Hizbullah yang bermazhab Syiah Imamiyyah yang bertentangan juga dengan mazhab yang dianut oleh Bashar dan keluarganya," tulis Ustaz Hadi dalam tulisan itu.
Bagi beliau, hubungan Iran dan Hizbullah yang Syiah serta Hamas dan Jihad Islami yang Sunni dengan Syria adalah hubungan strategik masing-masing.
Jadi apabila Bashar bertindak ke atas rakyatnya termasuk membunuh mereka, ia adalah kerana pertentangan antara Bashar yang jahat dengan rakyatnya yang mahu bebas dari kuasa jahat itu bukannya kerana perbezaan mazhab.
Persoalannya kenapa isu Syria dijadikan pertembungan Syiah dengan Sunni oleh sesetengah pihak?
"Sekarang ini sesetengah pihak dalam PAS sedang bergabung dengan sesetengah pihak dalam Umno nak 'bunuh' aku," kata Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS kepada The Malaysian Insider.
Beliau mengulas laporan yang melarat-larat tentang isu Syiah sejak kebelakangan ini. Mohamad diserang habis-habisan apabila beliau mengunjungi Menteri Wakaf Syria setahun lalu.
Beliau didakwa menyokong kerajaan Bashar di Syria dalam isu pertentangan di negara itu kerana beliau didakwa pengikut Syiah.
Mohamad beberapa kali menjelaskan beliau bukan Syiah tetapi menyokong pendekatan politik yang diambil oleh kerajaan Iran dan Hizbullah dalam memperjuangkan Islam dan melawan musuh Islam iaitu Israel dan Amerika.
Dalam kes Syria, ketika Amerika membantu usaha menjatuhkan kerajaan Bashar Al Asad, beliau bimbang akan lahir kerajaan boneka Amerika kedua di rantau itu selepas Iraq.
Bagi beliau, dari menjadi boneka Amerika lebih baik mengekalkan kerajaan yang ada dan membiarkan rakyatnya sendiri menentukan kerajaan di sana dari campur tangan Amerika.
Sudah tentu pendirian ini tidak popular di Malaysia kerana kita terdedah hampir setiap hari tentang kekejaman kerajaan Bashar yang membunuh rakyatnya sendiri termasuk wanita dan kanak-kanak.
Kini hampir setiap hari media memainkan isu Syiah. Kononnya Syiah sudah berjaya mengawal beberapa pusat pengajian tinggi dan pemimpin PAS juga diresapi pengaruh Syiah.
Kesan tuduhan ada kaitan dengan Syiah ini juga dikatakan antara sebab mengapa Mohamad kalah di kerusi Parlimen Pendang dalam pilihan raya umum ke 13 lalu.
Ini ekoran dakwaan yang mengatakan ada unsur-unsur sabotaj di kalangan penyokong PAS sendiri kerana tidak senang dengan label hubungan dengan Iran dan Syiah yang ada pada Mohamad.
Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man hari ini menegaskan, tidak ada pimpinan PAS yang terlibat dengan Syiah.
Beliau menyifatkan ia hanya serangan politik terhadap parti itu.
Ketua Penerangan PAS itu berkata tuduhan itu tidak berasas sama sekali, tanpa bukti dan hanya berpandukan andaian semata-mata.
"Saya kesal kenapa mereka memberi bayangan sebegitu. Ingin saya tegaskan sekali lagi tiada pemimpin PAS yang terlibat," katanya pada kenyataan media, hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, beberapa pimpinan PAS yang ada hubungan peribadi dengan pimpinan Iran atau gerakan Islam Timur Tengah, bukan bermakna mereka pengikut Syiah.
Beliau juga berkata, "Kita mohon ahli PAS tidak termakan dengan fitnah dan berjaga-jaga dengan taktik jahat musuh untuk melaga-laga pemimpin dan ahli PAS dengan pelbagai label seperti ulama dan profesional, liberal, kumpulan Erdogan, UG mahupun Syiah.” – 29 Julai, 2013.
*Analisa ini dibuat dengan kerjasama Timmy Say.
*Bahagian akhir akan disiarkan esok.
 
Sumber Berita Dari Blog KedahLaNie

No comments:

Post a Comment