TPPA: Jangan sembunyi apa-apa dari rakyat

(Penal dalam forum Trans Pacific Partnership Agreement - TPPA)

KUALA LUMPUR: Meskipun perincian berkaitan Trans Pacific Partnership Agreement (TPPA) masih belum diperhalusi dari sudut kebaikan dan kesan akan datang kepada negara, kebimbangan rakyat Malaysia terhadap perjanjian itu wajar diredakan dengan maklumat secukupnya.

Lebih-lebih lagi, apabila terdapat dakwaan yang mengatakan ada beberapa terma di dalam TPPA itu diambil dari North American Free Trade Agreement (NAFTA) yang telah ditandatangani sebelum ini.

Pakar Ekonomi PAS, Dr. Rosli Yaakob (gambar) berkata NAFTA yang telah dimeterai perjanjiannya pada 1994 sebelum ini, sudahpun memberikan kesan yang dibimbangi akan berulang apabila termeterai TPPA yang dijangka dilakukan pada Oktober 2013, di Kota Kinabalu, Sabah.

"Kita tidak tahu apa yang ada dalam TPPA ini dan kesannya, tetapi TPPA ini asasnya dari NAFTA. Kita tidak boleh kata ini kesan TPPA, sebab tak tahu tapi kita boleh anggap sebagai 'kesan bayangan' apabila melihat kesan dari NAFTA itu sendiri," kata beliau pada satu forum berkaitan TPPA, di Dewan Perhimpunan Cina, malam tadi.

Menurut bekas Timbalan Pengarah Bank Negara Malaysia itu, jika melihat Perkara 11 dalam NAFTA iaitu 'investor-state dispute settlement' (ISDS), ia memperlihatkan satu peruntukan yang menyebelahi pelabur semata-mata.

Peruntukan itu, jelas Dr. Rosli banyak memberi kelebihan kepada pelabur apabila berlaku sebarang pertikaian antara syarikat pelabur dengan negara yang memeterai NAFTA.

Sebagai contoh, katanya pernah berlaku pertikaian antara Kanada dengan sebuah syarikat dari Amerika Syarikat (AS) yang mengimport air dari sebuah tasik di Kanada, dan menyebabkan kerosakan eko sistem tasik tersebut.

Kes tersebut, katanya dibawa ke mahkamah di peringkat antarabangsa apabila Kanada bertindak melarang syarikat dari AS itu meneruskan import air tersebut dan kemudiannya Kanada disaman sebanyak RM105 juta.

"Ini yang berlaku, negara yang rosak eko sistemnya kerana perbuatan syarikat pelabur disaman. Yang merosakkan terlepas.  Begitu juga dengan beberapa kes antara Kanada dan syarikat dari AS juga yang mengimport gas gasolin, yang mana Kanada disaman RM201 bilion.  Jadi, kita bimbang perkara sebegini akan berulang apabila TPPA dipersetujui kelak," tegas beliau.

Isu berkaitan TPPA ini timbul apabila sebahagian besar rakyat Malaysia tidak tahu-menahu berhubung TPPA ini, sebelum lima perkara antara 29 perkara dalam TPPA itu dibocorkan baru-baru ini.

Beberapa NGO seperti Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Majlis Tindakan Ekonomi Malaysia (MTEM) membantah rundingan yang dilakukan secara rahsia antara wakil Malaysia melalui MITI dengan AS kerana beranggapan rakyat Malaysia perlu dimaklumkan berkenaan kebaikan dan kesan dari TPPA itu.

Difahamkan, antara lima perkara dalam TPPA yang terbocor itu, salah satunya berkaitan dengan ubat-ubatan generik yang akan dipatenkan yang menyebabkan kelewatan kemasukan ubat-ubatan generik dengan harga berpatutan dalam pasaran Malaysia.

Jika peruntukan ini dipersetujui, rakyat Malaysia dikatakan akan terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk ubat-ubatan untuk jangka masa yang lebih lama.

Sementara itu, moderator forum tersebut, Anas Alam Faizli, berkata forum bertajuk 'Adakah TPPA Bentuk Penjajahan Moden Amerika?' itu diadakan bagi memupuk kesedaran awam mengenai isu TPPA yang bakal memberi kesan besar kepada negara, selain mendesak kerajaan untuk memberikan lebih 'disclosure' mengenai isu kandungan perjanjian TPPA.

Beliau turut mencadangkan penubuhkan gabungan bertindak terdiri daripada NGO-NGO untuk membawa isu-isu TPPA, di samping mendesak kelulusan perjanjian TPPA dibuat bukan di kabinet tetapi melalui penelitian Parlimen atau Jawatankuasa Khas Parlimen.

Forum anjuran Blindspot bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Ikram dan beberapa NGO lain turut membariskan Pakar Perdagangan, Universiti Malaya, Prof Dr. Nazari Ismail; dan Pakar Undang-undang Kesihatan, Fifa Rahman.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment