Dr M akui kesilapan semasa berkuasa dulu....

Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui kesilapannya semasa masih berkuasa kerana memberi jaminan tidak akan menyekat internet, ia ekoran keputusan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) baru-baru ini dimana media baru banyak memainkan peranan.

Dr Mahathir berkata beliau kini terpaksa menimbang semula keputusannya selepas memberikan kebebasan penuh internet semasa mengetuai Multimedia Super Corridor (MSC) pada 1996. "Ketika saya mengetuai MSC, saya ditanya oleh seorang wanita Amerika sama ada kami akan menyekat internet."

"Saya beritahu dia tidak, kami akan jadi sangat bebas.... tapi kini saya terpaksa berfikir dua kali," kata beliau semasa berucap pada majlis penutup CEO Forum 2013 di Berjaya Times Square Convention Centre disini.

Beliau juga berkata tidak menyangka keputusannya tersebut menyebabkan perubahan yang drastik sehingga ia disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab hinggakan orangramai mengeluarkan kenyataan berbentuk provokasi antara satu sama lain.

"Bila berikan kebebasan, kamu fikir tiada banyak yang akan berubah tapi sekali kamu beri mereka kebebasan, mereka cenderung menyalahgunanya."

"Sekarang kamu lihat orang ramai melakukan provokasi antara satu sama lain, kenyataan-kenyataan tersebut menyebabkan kita semua tidak dekat antara satu sama lain," katanya lagi.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebelum ini berjanji tidak akan melakukan sekatan terhadap Internet, namun akan mendekati rakyat Malaysia melalui media sosial.

Najib menegaskan kerajaan tidak akan bertindak melesenkan portal berita dan blog sebagaimana dilakukan negara jiran, bagaimanapun, katanya, bagi memelihara keharmonian nasional, kerajaan akan tetap menguatkuasakan undang-undang sedia ada.

Media sosial, terutamanya Facebook dan Twitter, telah diakui menjadi sebahagian daripada pencetus "Arab Spring" di Mesir apabila rakyat negara itu menuntut presiden mereka Hosni Mubarak untuk meletak jawatan.

Kira-kira 13.6 juta pengguna Facebook di Malaysia dari 28.3 juta penduduk, mewakili 48 peratus dari keseluruhan penduduk, menurut laman web socialbakers.com.

Dua puluh sembilan peratus pengguna Facebook di Malaysia berusia antara 25 hingga 34 tahun.

Penganalisis politik berpendapat rakyat Malaysia lebih menggunakan Internet untuk mendapatkan maklumat, yang menyebabkan ahli politik menggunakan Facebook dan Twitter untuk mendengar kata pengundi, dan tidak lagi bergantung kepada media arus perdana, menyaksikan penjualan akhbar semakin merosot dan tontonan di televisyen semakin berkurangan.-tmi
 
Sumber Berita Dari Blog Batu VS Kayu

No comments:

Post a Comment