Beku lesen: DBKL boleh contohi Selangor

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyambut baik langkah pembekuan sementara lesen baru untuk perniagaan pusat siber oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Pembekuan ini dilihat sebagai usaha membendung penyalahgunaan premis tersebut sebagai tempat perjudian,” kata ketuanya, Kamaruzaman Mohamad.

Akhir-akhir ini, ujarnya premis-premis pusat siber tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan.

Menurutnya, pusat-pusat siber dilihat beroperasi dengan cara yang agak meragukan kerana ada di antaranya melebihi waktu operasi yang dibenarkan dan di sebalik cermin yang gelap.

Beliau berkata, selain dari menawarkan khidmat layaran internet, ada di kalangan pusat siber ini beroperasi hanya untuk menawarkan khidmat permainan komputer semata-mata,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Namun apa yang lebih membimbangkan lagi, ujarnya ialah pusat-pusat siber menjadi pusat perjudian haram berselindung di sebalik cermin-cermin gelap dan mereka ini turut membenarkan pelajar-pelajar sekolah masuk.

Katanya, walaupun syarat lesen pusat siber ini tidak membenarkan premis menggunakan cermin gelap dan beroperasi tidak lebih dari jam 12 tengah malam, namun masih banyak lagi pusat siber yang berbuat demikian.

“Ketegasan daripada pihak penguasa DBKL amatlah ditagih dalam membendung aktiviti yang tidak bermoral ini,” katanya lagi.

DPPWP juga, ujarnya ingin menyarankan kepada pihak DBKL agar turut mengambil langkah yang sama terhadap pusat-pusat hiburan dan rumah urut yang melata di ibu negara bertujuan bagi membendung aktiviti yang tidak bermoral dan pelacuran.

Tambah beliau, tindakan kerajaan Selangor yang membekukan sebarang permohonan lesen bagi rumah urut, pusat hiburan dan pusat siber semenjak 2008 boleh dijadikan contoh oleh pihak DBKL.

Ia, katanya sekaligus dapat membendung penambahan premis-premis itu yang tidak mengikut peraturan.

Sumber Berita Dari Harakahdaily

No comments:

Post a Comment