TERHOT! Tiga Bekas Exco Kedah daripada PKR letak jawatan dalam Parti

 
Tiga Exco Kedah daripada PKR letak jawatan, dakwa dikhianati parti....

Tiga Exco Kedah daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini melepaskan semua jawatan dalam parti itu berkuatkuasa serta-merta kerana mendakwa telah dikhianati.
 
"Kami dikhianati," kata Naib Pengerusi III PKR Kedah Datuk S. Manikumar, mewakili dua lagi Exco, Lim Soo Nee dan Tan Joon Long@Tan Chow Kang. Manikumar ialah Timbalan Ketua PKR Cabang Merbok dan Tan, Naib Pengerusi Perhubungan PKR Kedah, Naib Pengerusi Cabang Sungai Petani serta Ketua Pasukan Keadilan untuk Bangsa Tionghua Kedah serta Perlis, manakala Lim ialah Ketua Biro Aduan PKR Kedah.

Ketiga-tiga mereka tidak dicalonkan semula oleh PKR pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) ini.

Manikumar berkata mereka bertiga sebulat suara bersetuju melepaskan semua jawatan yang disandang dalam parti itu kerana mendapati berlaku pengkhianatan terhadap mereka oleh kepimpinan tertentu dalam parti.

"Ini telah membawa kepada situasi "mundar-mandir" dalam politik Kedah di mana 10 kerusi yang ditandingi oleh PKR kali ini telah mengalami penyusutan dalam sokongan keseluruhan."

"Saya adalah penyandang kerusi Dun (Dewan Undangan Negeri) Bukit Selambau, menang pada Pilihan Raya Kecil 2009 dengan majoriti 2,403 undi tetapi tidak diberi semula ruang untuk bertanding," katanya pada sidang media di sini.

Ketiga-tiganya bagaimanapun kekal sebagai anggota PKR, namun tidak akan mencampuri urusan parti, termasuk menghadiri mesyuarat parti.

Manikumar berkata mereka kecewa kerana tidak mendapat penjelasan daripada pucuk pimpinan tertinggi PKR mengenai mengapa mereka digugurkan daripada senarai calon untuk PRU13 ini.

"Kalau kita tengok hari ini, dalam Majlis Kepimpinan negeri, secara keseluruhannya kami adalah antara lima kepimpinan utama di peringkat negeri."

"Namun, sehingga kini, tidak terdapat satu pun maklum balas atau surat penjelasan daripada PKR pusat, malah Pengerusi PKR negeri Datuk Wan Salleh Wan Isa sendiri tidak mendapat sebarang notis mengenai situasi ini," katanya.

Mereka bertiga adalah antara nama-nama utama dalam Majlis Kepimpinan negeri yang tidak dipilih sebagai calon pada PRU kali ini.

"Kita tak tau bagaimana percaturan politik di peringkat atasan, siapa yang pilih, "tangan-tangan ajaib" mana yang menentukan hala tuju parti PKR secara keseluruhan yang menjadi tanda tanya sehingga ke hari ini," katanya.

Sementara itu, Tan berkata beliau sudah "tiada hati" untuk bekerja bersama PKR selepas disisihkan oleh parti.

Lim pula berkata keputusan untuk meletak jawatan diambil selepas perbincangan dengan Wan Salleh dan beliau dinasihati untuk berbuat demikian.

"Saya meletak jawatan bukan kerana tidak "lekat" sebagai calon tapi disebabkan perkara lain. Tidak terpilih sebagai calon memang sudah dalam jangkaan saya," katanya.

Pada PRU12, PKR menang empat kerusi DUN. Seorang calon Bebas yang menang kerusi Dun Bukit Selambau, V. Arumugam kemudian menyertai PKR.

PKR diberikan tiga kuota untuk Exco negeri yang diisi oleh Tan Wei Shu (Bakar Arang), Mohammad Radzhi Salleh (Lunas) dan V. Arumugam. Wei Shu dan Mohammad Radzhi kemudian keluar daripada parti itu dan menjadi wakil rakyat Bebas manakala Arumugam meletak jawatan.

Pilihan Raya Kecil DUN Bukit Selambau pada 2009 dimenangi oleh Manikumar. Tiga kuota Exco kemudian diisi Manikumar, Lim dan Tan. - Bernama

No comments:

Post a Comment