Tampal stiker R, pegawai GLC digantung tugas



KUALA LUMPUR: Pasukan Pemantau Pilihan Raya Kelantan kecewa dengan sebuah syarikat berkaitan kerajaan pusat (GLC) yang didakwa bertindak tidak profesional menggantung tugas seorang pegawainya hanya kerana menampal stiker R di kereta.

Ketuanya, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, tindakan syarikat yang menyediakan khidmat kesihatan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia itu merupakan satu pencabulan hak pekerja.

"Di saat kerajaan pimpinan Barisan Nasional melaungkan slogan “Pekerja Pemangkin Transformasi Negara” sempena hari pekerja tahun 2013, pencabulan hak-hak asasi terhadap golongan pekerja terus berlaku."

"Pemantau Rakyat telah didatangi oleh seorang pegawai atasan GLC terbabit dan mengadu beliau telah dikenakan tindakan gantung dan dikhianati oleh majikannya hanya kerana meletakkan stiker R di kereta beliau," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Harakahdaily bagaimanapun tidak menyiarkan nama GLC terbabit bagi mendapat maklumbalas terlebih dahulu dari pihak mereka.

Apa yang dibimbangi kata Faizal, jika tindakan tersebut boleh dilakukan kepada seorang pegawai atasan, tentu sekali hal yang sama mudah untuk dikenakan kepada kakitangan bawahan.

Menurutnya, dalam suasana kerajaan mendakwa golongan pekerja diberi penghargaan dan keadilan, tindakan GLC tersebut amat bertentangan dengan apa yang dilaungkan oleh pihak kerajaan.

Apatah lagi ujarnya dalam suasana negara berhadapan dengan pilihan raya umum PRU 13, tindakan GLC tersebut nyata mencabul hak pekerja yang merupakan seorang warga Negara untuk bersuara dan menyatakan pendapat serta berpersatuan.

"Sempena hari pekerja pada hari ini, kami menggesa setiap tindakan yang hendak diambil terhadap kakitangan bawahan hendaklah mengambilkira merit tanpa dipengaruhi oleh nilai-nilai luar seperti fahaman politik."

"Setiap pekerja mesti dihormati sebagai seorang warga Negara yang mempunyai hak-hak yang telah dijamin kukuh oleh undang-undang dan perlembagaan Negara," katanya.

No comments:

Post a Comment