Bergelumang selut perkara biasa bagi Dr Azman





SETIU: Calon PAS bagi N.05 Dun Jabi, Dr. Azman Ibrahim, 38, seorang pengamal pergigian swasta dan merupakan tokoh muda yang aktif, diketengahkan oleh PAS Terengganu untuk menjadi pilihan utama para pengundi.

Beliau yang pernah berkhidmat di beberapa klinik dan hospital kerajaan dengan jawatan terakhir sebagai Pensyarah Pergigian di Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia menerima amanah yang dipertanggungjawabkan oleh parti untuk menjadi khadam yang berkhidmat kepada rakyat Jabi.

“Amanah ini mampu dilaksanakan dengan izin dan pertolongan Allah serta sokongan para pengundi sekalian,” ujarnya yang memiliki ijazah Sarjana Muda Pembedahan Pergigian dari University of Baghdad, Iraq.

Mengenai kempen, ujarnya sepanjang tempoh berkempen PRU13 ini adalah penerusan dari kerja-kerja yang telah berlangsung sejak lebih kurang 5 tahun yang lepas.

Dengan makna lain, setelah tidak berjaya mencapai kemenangan dalam PRU12, penerusan aktiviti bersama rakyat tidak pernah dinokhtahkan oleh beliau.

Aktiviti rutin seperti tazkirah di masjid dan surau, menyampaikan khutbah Jumaat, menangani isu-isu serta perkara berbangkit dalam masyarakat, program-program kebajikan, cakna dan menyantuni rakyat tanpa mengira usia dan latar belakang sudah sebati dengan hidupnya sejak diamanahkan parti menjadi calon dalam PRU12 lagi.

Pada PRU lalu, beliau memperolehi 5,560 undi sementara calon BN, Ramlan Ali mendapat 6,364 undi. Pada PRU13 ini, beliau ditentang calon BN, Mohd Iskandar Jaafar. Jumlah pengundi kali ini seramai 16,787 orang dengan 99.45 peratus adalah Melayu, Cina (0.49%), India (0.01%) dan lain-lain (0.31%).

Dengan latar belakang sebagai anak kampung, anak kepada pasangan petani Ibrahim Saman dan Habidah Mat Nor yang dilahirkan di Kampung Bukit Tanah, Besut yang membesar di sini, beliau melangkah dewasa sebagai seorang anak tani, bergelumang dengan selut dan lumpur.

Kehidupan masyarakat Jabi adalah juga sebahagian kehidupan beliau. Kerana itulah jadual harian berulang-alik dari Kota Bharu ke Jabi adalah lumrah setiap kali mempunyai urusan bersama parti dan masyarakat sejak sekian lama.

Di dalam parti, Dr Azman diamanahkan beberapa tanggungjawab antaranya, AJK Badan Perhubungan PAS Terengganu, Pengerusi Lujnah Pengguna dan Alam Sekitar PAS Terengganu, AJK Lujnah Pendidikan PAS Pusat, Pengurus Dana Pendidikan PAS Pusat, Naib Yang Dipertua PAS Setiu, Pengerusi Lujnah Petani, Nelayan dan Peneroka PAS Setiu serta Pengarah Majlis Tindakan Dun Jabi.

Beliau bersyukur, tiada sebarang kejutan luar biasa yang terpaksa dilalui menjelang kempen PRU13 membuka tirai. Ianya adalah penerusan aktiviti yang telah berjalan sekian lama secara 'natural dan humble'.

Dr Azman tampil bersama masyarakat sehingga ke peringkat yang paling bawah, masuk ke bendang dan kebun getah, bersila di serambi-serambi rumah rakyat Jabi, mengunjungi rakyat di tempat-tempat awam, mengimamkan sembahyang di masjid dan surau, menyampaikan tazkirah dan khutbah, menghadiri program-program bersama wanita.

“Markas-markas BN juga turut saya kunjungi dengan isyarat kita tidak pernah bersengketa secara peribadi tapi saya adalah calon yang diamanahkan membawa dasar parti dan membentangkan kepada rakyat manifesto parti, menghadiri mesyuarat dan pertemuan-pertemuan semuanya dengan matlamat supaya mesej parti yang mengamanahkan kepada saya tanggungjawab sebagai calon dilaksanakan sebaik-baiknya."

“Alhamdulillah, 'post mortem' sepanjang kempen, rakyat Jabi tak menganggap saya sebagai orang asing bagi mereka. Rombongan kempen kami diterima baik dan disambut mesra,” ujarnya.

Katanya, kerosakan angkara Umno telah sedia dimaklumi rakyat, tinggal lagi adalah untuk meyakinkan mereka bahawa PAS yang mengamanahkan kepada beliau untuk menjadi calon bagi mewakili rakyat Jabi di Dewan Undangan Negeri adalah alternatif terbaik dengan izin Allah.

Justeru, sekiranya rakyat Jabi memilih PAS dan beliau mewakili mereka, beberapa agenda bertindak akan menjadi fokus utama.

1.    Merangka pelan pembangunan seimbang rohani dan jasmani untuk rakyat Jabi.

2.    Menyelesaikan isu-isu berbangkit terutamanya soal hak milik tanah dan penerokaan tanah kerajaan.

3.    Pemulihan semula tanah-tanah sawah terbiar ekoran masalah pengairan antaranya dilokasi sekitar Kampung Baru Tok dor supaya boleh dimanfaatkan untuk aktiviti ekonomi.

4.    Memulihkan fungsi masjid-masjid di seluruh Jabi selaras dengan peranannya di dalam masyarakat sebagai pusat ibadat, ilmu dan kemasyarakatan.

5.    Masalah kemiskinan tegar masih menjadi antara rintihan masyarakat di sini. Mereka telah dan akan disantuni dengan penuh kasih sayang. Apatah lagi Terengganu adalah negeri yang mengemukakan bajet tahunan melebihi RM2 bilion. Memperbaiki kelemahan agihan sumber kekayaan negeri agar ianya dinikmati oleh adalah tanggungjawab besar yang menunggu.

6.    Pemulihan kemudahan asas seperti padang bola yang terbiar. Di beberapa lokasi, kemudahan padang bola tempat riadah anak-anak muda telah ditukar menjadi kawasan perumahan. Ianya perlu diganti.

7.    Sebenarnya masih ada kampung-kampung di Jabi yang boleh dimasuki hanya dengan melalui jalan becak seperti Kampung Jebak Puyoh, Kerandang. Perbezaan fahaman politik menyebabkan mereka dipinggirkan. Agenda saya adalah adalah untuk menjadi wakil rakyat yang berkhidmat untuk semua sama ada yang mengundi saya ataupun tidak. Agihan peruntukan pembangunan mesti mengikut keperluan bukan ikut suka wakil rakyat.

8.    Anak-anak muda adalah aset hari ini dan masa depan untuk keluarga, masyarakat, negeri dan negara. Mereka mempunyai kedudukan terhormat di mata kami. Sebagai calon muda, saya menyelami dan cukup memahami gaya pemikiran, kehidupan, minat dan hobi mereka. Anggaplah saya sebagai saudara dan sahabat untuk kita bersama menelusuri arus perubahan yang dipimpin PAS bersama Pakatan Rakyat.

9.    Warga tua dan dewasa, anggaplah saya sebagai anak atau adik yang menawarkan diri untuk berkhidmat, sedia ditunjuk ajar dan dibimbing demi memastikan khidmat terbaik untuk warga Jabi.

10.    Agenda terbesar adalah untuk bersama rakyat Jabi mencorakkan bumi Jabi menjadi ‘Bumi yang baik dan berkat serta mendapat keampunan Allah.’

“Marilah rakyat Jabi sekelian, kita bersama mengambil kesempatan berharga ini untuk membuat perubahan bersama saya dan Pakatan Rakyat,” ujar Dr Azman lagi.

No comments:

Post a Comment