BIASA LA TU.... UMNOOOO....

Lot tanah dijanjikan masih berstatus padang ragut




Abirerah menunjukkan pelan carian dari pejabat tanah membuktikan tanah masih berstatus rizab padang ragut.

TEMERLOH: Tidak ada siapa yang tidak gembira jika diberi peluang dijanjikan memiliki lot tapak rumah sendiri, namun selepas empat tahun memasang angan-angan 100 orang belia di Kampung Mambang Berulang, Mentakab dekat sini terus hampa.

Lebih mengecewakan mereka, setelah mendapatkan carian dan geran di Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh, tanah seluas 30 ekar itu didapati masih berstatus rizab padang ragut walaupun mereka telah membayar wang proses sebanyak RM75 seorang.

Seorang pemohon Kamarudin Harun, 47, berkata tanah tersebut telah banyak kali ditawarkan kepada generasi kedua kampung terutama menjelang pilihan raya sehinggalah pada tahun 2009 ia diproses melalui Jawatan kuasa keselamatan dan kemajuan kampung (JKKK) dan pejabat penghulu mukim.

“Selain mengisi borang kami dikenakan bayaran sebanyak RM75 seorang kononnya untuk caj proses. Tetapi hingga ke hari ini belum ada apa-apa jawapan, malah status rizab padang kerbau masih belum bertukar.

“Maknanya proses tanah kami langsung tidak diproses oleh pihak kerajaan yang berjanji dalam empat tahun ini,” katanya sambil menunjukkan resit bukti bayarannya.

Katanya, semua belia yang memohon tanah tersebut masih tidak memiliki tanah sendiri tetapi sekarang jangankan melihat masing-masing belia mendapat lot tanah, malahan belukar di situ pun belum diusik.

Kampung Mambang Berulang terketak hanya dua kilometer dari bandar Mentakab iaitu bandar kedua dalam daerah Temerloh.

Rozali Husin, 43, (gambar) memang mengharapkan lot tanah tersebut menjadi kenyataan kerana hingga kini masih menumpang di tanah orang tua sedangkan adik beradik ada 11 orang.

“Yang peliknya tiap-tiap kali pilihan raya tanah itu diukur tetapi terus diam selepas itu, seolah-olah menjadi umpan untuk undi saja,” keluhnya.

Beliau berharap supaya pihak berkuasa mempercepatkan proses kelulusan kerana kampung sudah menjadi semakin sempit kerana penduduk bertambah ramai.

Sabaruddin Husin, 37, merasa tertipu kerana wang bayaran sebanyak RM75 lesap tetapi tanah tidak dapat.

“Saya rasa tertipu, tunggu dan tunggu tanah yang dijanjikan tak dapat pun, tapi duit mereka dah ambil,” keluhnya.

Bapa kepada tiga anak itu berkata, beliau orang susah dan masih tinggal dengan keluarga. Sedangkan untuk membeli tanah lain tidak mampu kerana mahal.

Dengan itu beliau merayu supaya diselesaikan segera permohonan mereka kerana jika tidak keadaan hidup beliau bersama belia lain semakin susah.

Abirerah Awang Chik, 51, berkata beliau sendiri pergi ke pejabat tanah setelah merasakan permohonan tanah lot tapak rumah untuk belia itu terlalu lama. Tetapi terkejut apabila mendapati status tanah tersebut masih rizab padang ragut bukannya tapak kediaman.

“Kami selaku generasi kedua penduduk di sini kesal kerana menjadi orang Melayu tidak bertanah di pinggir bandar. Mustahil untuk membeli tanah di bandar Mentakab kerana harganya mencecah RM2 juta seekar.

“Sebab itulah jika pihak kerajaan tidak memproses tanah rizab yang dijanjikan, kami belia-belia kampung ini dan sekitarnya boleh menerima nasib seperti Red Indian,” katanya.

Dalam pada itu, Abirerah berkata tawaran Pakatan Rakyat Pahang iaitu untuk menyediakan lot-lot rumah kepada rakyat Pahang yang tidak mempunyai tanah dan rumah kediaman serta menyelesaikan permohonan tanah yang tertunda sekian lama dipohon oleh rakyat Pahang sekiranya permohonan tersebut benar-benar layak, boleh menarik minat orang muda untuk mengundi parti itu.

Sumber: Harakahdaily

No comments:

Post a Comment