AKHIRNYA MAT SAID JUGA KEMBALI SEMULA KE PANGKUAN UMNO

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bahawa beliau kembali menyertai UMNO dan kesal atas apa yang berlaku.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Datuk Tengku Putera Tengku Awang pada sidang media di sini, sebentar tadi.

Tengku Putera berkata, perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri dalam pertemuan bersama dengan Menteri Besar Terengganu yang baru, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan 13 ADUN Terengganu di Perdana Putra di sini.

Tengku Putera mengetuai 14 ADUN Terengganuu mengadakan sidang media itu selepas mengadakan pertemuan khas dengan Najib di Bangunan Perdana Putera, pagi ini.

Rombongan yang diketuai Menteri Besar baharu Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dan Speaker DUN negeri, Mohd Zubir Embong.

Turut sama dalam pertemuan itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor. 


Sumber Berita Dari Bloglist Malaysia

Menantu Presiden PAS kata Nizar "very stupid"

Ustaz Zaharudin Muhammad yang didakwa menantu Tuan Guru Presiden PAS menyatakan DS Nizar "very stupid" kerana ulasan DS Nizar  berkenaan isu "krisis Kerajaan UMNO, Terengganu. 
Penulis tak mahu ulas panjang, kerana penulis rapat dengan DS Nizar. Untuk baca lebih lanjut baca di SINI.
 
Sumber Berita Dari Blog Sisi Bukit

MCA hipokrit dalam isu Terengganu, kata DAP

OLEH JAMILAH KAMARUDIN

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng (gambar) membidas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai berhubung soal meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan peribadi merujuk kepada krisis politik yang berlaku di Terengganu.

Katanya, kenyataan Liow yang merujuk kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Terengganu termasuk bekas Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said yang keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas sebagai tidak berprinsip, tidak jujur dan bercanggah dengan amalan MCA.

"Kenapa MCA tidak cakap perkara sama apabila tiga Adun daripada Pakatan Rakyat (PR) lompat parti dan menyokong Barisan Nasional (BN) dan membiarkan rampasan kuasa di Perak terjadi semasa tahun 2009," soalnya dalam satu kenyataan hari ini.

Liow, semasa sambutan Hari Wesak di Kuala Lumpur semalam, dilaporkan berkata, Ahmad dan dua lagi Adun Bebas tidak sepatutnya menjadikan Terengganu sebagai taruhan, sebaliknya perlu sentiasa memberikan khidmat kepada rakyat selepas diberi kepercayaan dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

Menurut Liow, MCA berharap agar Barisan Nasional dapat mengambil tindakan pantas untuk menstabilkan semula kerajaan Terengganu, jika tidak serahkan saja kepada rakyat untuk menentukannya dengan pilihan raya negeri.

Sumber Berita Dari TMI

Zaid: Mungkin silap tarik balik saman hudud

 
WAWANCARA Ketika kerancakan PAS mengetengahkan hudud ketika menguasai Kelantan dan Terengganu, Datuk Zaid Ibrahim muncul antara segelintir orang Islam yang menentang pelaksanaan undang-undang jenayah Islam itu.

Zaid, ketika itu ketua bahagian Umno Kota Bharu, pada 2002 memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa kedua-dua negeri itu tiada kuasa untuk menggubal undang-undang, termasuk hudud.

Keputusan itu akan merancakkan perdebatan hudud. Tetapi Zaid kemudiannya menarik balik permohonan itu.

“Saya diberitahu supaya menarik permohonan di mahkamah,” katanya dalam wawancara dengan Malaysiakini di kediamannya di Petaling Jaya minggu lalu.

Beliau enggan mendedahkan pihak yang memberi arahan itu.

“Secara politiknya amat sukar untuk mereka menguruskan isu itu sebelum tibanya pilihan raya umum (2004). Mereka tidak mahu saman saya dipersalahkan jika terdapat kekalahan besar dalam pilihan raya."

“Saya anggota parti (Umno) yang sangat taat pada masa itu,” akuinya.

Dan perbahasan berhubung isu hudud berpanjangan sehingga ke hari ini, 12 tahun selepas tarikh itu.

Melihat perkara itu secara retrospektif, Zaid berkata, mungkin beliau silap menarik balik saman itu, tetapi “kami lakukan apa yang patut dilakukan pada masa itu, dan saya tidak menyesal”.

Bekas menteri undang-undang itu memang sedia dimaklumi dengan pendirian tegasnya.

Beliau pernah meninggalkan Umno kerana tidak bersetuju dengan penahanan tanpa bicara dan selepas itu menyertai PKR dan Parti Kesejahteraan Insan Tanah Air (KITA), sebelum meninggalkan kedua-duanya kerana perbezaan politik.

Zaid bagaimanapun berkata tidak akan membawa isu hudud ke mahkamah sekali lagi, walaupun PAS sebelum ini merancang membentangkan rang undang-undang persendirian di Parlimen bagi memberi laluan kepada pelaksanaannya.

Rang undang-undang itu, jika diluluskan, akan membolehkan Kelantan melaksanakan enakmen hudud negeri yang diluluskan pada 1993.

PAS bagaimanapun menarik brek Ahad lalu selepas pembentukan jawatankuasa teknikal antara kerajaan Kelantan dan Pusat bagi mengkaji pelaksanaan undang-undang itu.


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

Chegubard, dua aktivis dilepas tanpa bebas daripada PAA

OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Badrul Hisham (dari kiri), Mohd Bukhairy Sofian dan Edy Noor Ridzuan di luar Mahkamah Sesyen selepas mendengar keputusan mahkamah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 14 Mei, 2014. 
Badrul Hisham (dari kiri), Mohd Bukhairy Sofian dan Edy Noor Ridzuan di luar Mahkamah Sesyen selepas mendengar keputusan mahkamah. – Gambar The Malaysian Insider oleh Wan Amirul Asraf Wan Omar, 14 Mei, 2014.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepaskan tiga aktivis yang menganjurkan perhimpunan aman pada malam tahun baru berikutan dakwaan terhadap mereka tidak lagi wujud.

Hakim Ahmad Bache berkata, beliau terikat dengan keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 April iaitu hukuman yang diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 tidak mengikut perlembagaan.

“Oleh itu, dakwaan itu tidak berasas dan saya melepaskan tertuduh tetapi tidak dibebaskan,” katanya.

Pada 9 Mei, pihak pendakwaan memfailkan pertuduhan terhadap Mohd Bukhairy Sofian, Edy Noor Ridzuan dan Badrul Hisham atau juga dikenali sebagai Chegubard di bawah Akta Perhimpunan Aman (PAA) 2012 setelah gagal memberikan notis 10 hari sebelum perhimpunan kepada polis.

Bagaimanapun, peguambela Gobind Singh Deo dan Eric Paulsen membantah pertuduhan yang dibaca kepada tertuduh kerana mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa mendengar kes tersebut.

Gobind berkata, mahkamah boleh mengambil keterangan atas kesalahan yang diisytiharkan tidak mengikut perlembagaan oleh Mahkamah Rayuan pada 25 April lalu.

Tiga tertuduh itu didakwa menganjurkan himpunan Turun di Dataran Merdeka pada 31 Disember untuk membantah kenaikan kos sara hidup.

Mereka sebelum ini dituduh pada 29 Januari tetapi dilepaskan oleh Mahkamah Sesyen pada 28 April.

Gobind berkata, peguam negara yang juga pendakwa raya tidak boleh menggunakan budi bicaranya untuk membuat tuduhan kerana ia dilihat menyalahgunakan kuasa dan menunjukkan rasa tidak hormat kepada mahkamah.

Paulsen berkata, tuduhan itu tidak berasas sambil menggesa mahkamah membebaskan kliennya.

Dalam perbicaraan hari ini, hakim berkata mahkamah perlu memastikan bidang kuasanya untuk mendengar kes tersebut.

Katanya, ini sekadar kes saman dan tiga tertuduh hanya diminta hadir ke mahkamah.

“Ini bermakna mereka perlu hadir ke mahkamah secara sukarela dan tidak ditahan polis,” katanya.

Hakim berkata, berdasarkan Akta Mahkamah Rendah 1948, beliau mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman.

Beliau kemudian meminta pertuduhan dibacakan dan ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Suhaimi Ibrahim kemudian memberitahu Ahmad Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan Putrajaya terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 27 Mei ini.

Sementara itu, Gobind ketika ditemui di luar mahkamah hari ini mengalu-alukan keputusan Mahkamah Sesyen dan mengingatkan peguam negara agar jangan sesekali menyalahgunakan kuasanya.

"Kami mengalu-alukan keputusan Mahkamah Sesyen hari ini. Saya rasa sudah tiba masanya peguam negara mengambil kira perkara yang tidak berlandaskan Perlembagaan.

"Beliau perlu menghormati keputusan Mahkamah Rayuan dan berhenti mendakwa mereka yang tidak bersalah apabila bertentangan dengan Perlembagaan. Saya minta beliau menghentikan salah guna kuasa," katanya.

Badrul berkata, keputusan Mahkamah Sesyen hari ini sebagai membenarkan apa yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada bulan lalu.

Katanya, PAA merupakan satu undang-undang yang mahu menghalang suara rakyat dan tidak ada yang pernah disabitkan di kalangan mereka yang berada di pihak kerajaan.

"Ia mengulang semula keputusan lama. Saya nyatakan kepada hakim, ini jelas bertentangan dengan Perlembagaan. PAA disalah guna oleh kerajaan pemerintah."

"Ada banyak perhimpunan yang dibuat pro kepada Umno dan Barisan Nasional tetapi tiada yang kena dalam undang-undang ini. Undang-undang ini dibuat atas buku mungkin cantik tetapi ia alat rejim menekan suara rakyat yang bertentangan dengan kehendak mereka," katanya.

Sumber Berita Dari TMI

PAS Teluk Intan: Undi DAP, tolak politik kotor UMNO

WIRA4962
TELUK INTAN, 14 MEI: PAS menyeru pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan agar tidak terpedaya dengan mainan kotor UMNO dan terus memberi sokongan penuh kepada siapa saja calon yang diletakkan DAP nanti.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Changkat Jong Mohd Anuar Sudin berkata, UMNO tidak mustahil mengulangi taktik penipuan kerana begitu terdesak untuk membuktikan bahawa partinya masih relevan walaupun semakin ditolak seluruh pelusuk negara.

“Antara kempen jahat UMNO pada PRU lalu di sini adalah mengeluarkan risalah fitnah mendakwa DAP sebagai parti komunis dan anti-Melayu."

“Kita juga mempunyai bukti bahawa mereka meletakkan ahli-ahli UMNO sebagai petugas kira undi SPR dan memindahkan pengundi dari Pasir Bedamar ke Changkat Jong. Satu lagi adalah melalui sogokan wang."

“Atas sebab itu, kita (PAS Teluk Intan) akan memulakan gerak kerja awal sebaik saja calon diumum untuk memberi penerangan pada pengundi dan menangkis taktik jahat UMNO, sekaligus memenangkan DAP serta Pakatan sekali lagi,” katanya yang juga Bendahari PAS Teluk Intan.

Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Perak Khairul Anuar Ismail pula menyarankan kepada pengundi agar tidak termakan agenda kurang jelas UMNO berkenaan hudud.

“Hudud ini sememangnya bukan agenda Pakatan, tapi persendirian. UMNO sendiri tidak memahami apa itu hudud dan kini tiba-tiba pula beria mahu ia dilaksana. Ini jelas satu lagi rancangan untuk memporak perandakan PAS dan DAP."

“Tapi saya cukup yakin seluruh pengundi di sini mengetahui bahawa kebersamaan antara kami cukup erat dan kuat, ia tak mungkin dipecahkan melalui masalah itu,” ujarnya ketika ditemui di Markas PAS Padang Tembak, Teluk Intan.

Tambah beliau, antara kempen yang akan dijalankan PAS pada PRK kali ini selain penerangan mengenai taktik keji UMNO adalah merangkumi isu semasa seperti Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kegagalan menunaikan pelbagai janji dan lain isu yang menyusahkan rakyat.

Selain itu, katanya, isu tempatan seperti penurunan harga kelapa sawit yang menghalang aktiviti perladangan, kekurangan prasarana, peluang pekerjaan dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL) juga akan dibangkitkan.

Sumber Berita Dari Roketkini.com

Krisis T'ganu: Pemimpin Umno salahkan Ku Nan

 
Timbalan Ketua Umno Petaling Jaya Utara, Mohamad Azli Mohemed Saad menyalahkan Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang didakwanya gagal menguruskan isu peralihan jawatan menteri besar Terengganu.

Mohamad Azli mendakwa Tengku Adnan perlu bertanggungjawab berhubung perkara itu yang menyaksikan bekas menteri besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said dan dua ADUN bertindak keluar parti dan menjadi wakil rakyat Bebas, lapor Utusan Malaysia hari ini.

“Saya secara peribadi minta beliau (Tengku Adnan) letak jawatan, kerana bagi saya selaku delegasi (wakil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak) telah gagal menguruskan isu terbabit."

“Kita tahu Datuk Seri (Ahmad Said) meminta ditangguhkan dahulu (peralihan kepimpinan) kerana anaknya nak berkahwin. Apakah ini (alasan) tidak boleh diterima?"

“Apa salahnya dilewatkan (tangguh peralihan). Ini sudah jadi kelam kabut. Apabila isu ini tak ditanggani secara bijaksana, yang buruknya nampak kepada Umno,” katanya seperti dilapor dalam akhbar harian itu.

Mohammad Azli berkata demikian bagi mengulas situasi politik Terengganu dengan Ahmad, ADUN Ajil, Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Bagaimanapun, Roslee dilaporkan menarik balik surat keluar daripada Umno dan kembali menjadi wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Laporan akhbar harian itu juga menyebut Mohamad Azli berkata bekas menteri besar itu perlu diberi ruang 'selesa' mengenai peralihan kepimpinan dan meminta pucuk pimpinan tertinggi parti dan Ahmad bertemu bagi menyelesaikan masalah tersebut. 


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

Ahmad Said diugut dedahkan salahlaku politik wang ..!!!


Hafis Faizal / Ahmad Said

Siapa Hafis Faisal....?

Orangni pun tak kenal....

Dalam posting statusnya di FB nampaknya hebat mengugut dan menghentam Ahmad Said berkaitan isu Ahmad Said keluar UMNO dan isu panas kerajaan UMNO BN Terengganu.
AKU BERI AMARAN KEPADA MANA2 YB DUN TERENGGANU YG BERHASRAT UNTUK LOMPAT PARTI TERUTAMANYA DS AHMAD SAID SILA TERUSKAN AKU AKAN DEDAHKAN VIDEO n GAMBAR2 SALAHLAKU POLITIK WANG MELIBATKAN DS AHMAD SAID SERTA ORANG2 BESAR PARTI!!!!! aku hanya diatara kepimpinan kerdil akar umbi.

Malangnya status ini telah di dipadam setelah mendapat amaran dari seseorang....


Status yang menyindir Ahmad Said dari Hafis Faisal....

Inilah budaya dalaman UMNO.... ugut-mengugut menjadi senjata mereka, salahguna kuasa menjadi amalan mereka dan amalan itu juga akan jadi senjata mereka untuk menakutkan kalau tinggalkan parti.... itu belum pasal tawar-menawar.... ha.... ha.... ha....

~Rakyat Marhaen

sumber

Sumber Berita Dari Blog Pen Buruk Online

‘Ringgit’ boleh selesai krisis politik Terengganu?

KUALA LUMPUR: Kenyataan yang dibuat oleh rakyat Malaysia melalui blog, facebook, twitter mengenai krisis politik di Terengganu kini menyatakan bahawa ‘ringgit’ boleh menyelesaikannya.

“Ini persepsi rakyat,” tulis Abu Hassan Adama di dalam blognya.

Menurutnya, rakyat melalui sosial media sudah berani melahirkan fikiran mereka dengan berani mengatakan bahawa kebanyakan pemimpin di Malaysia kini hanya mementingkan ‘ringgit’ dan bukan lagi seperti pemimpin-pemimpin terdahulu yang begitu mementingkan prinsip perjuangan.

“Walaupun tidak semua yang berperangai begitu, namun persepsi rakyat mengatakan bahawa ramai pemimpin yang bersikap demikian,” tulisnya lagi sebagaimana di bawah.

Ditinjau kenyataan yang dibuat oleh rakyat Malaysia melalui blog, facebook, tweeter mengenai krisis politik di Terengganu kini menyatakan (secara menyindir) bahawa  ‘ringgit’  boleh menyelesaikan krisis politik di Terengganu.

Ini persepsi rakyat. Dan rakyat melalui sosial media sudah berani melahirkan fikiran mereka dengan berani mengatakan bahawa kebanyakan pemimpin di Malaysia kini hanya mementingkan ‘ringgit’ dan bukan lagi seperti pemimpin-pemimpin terdahulu yang begitu mementingkan prinsip perjuangan.

Walaupun tidak semua yang berperangai begitu, namun persepsi rakyat mengatakan bahawa ramai pemimpin yang bersikap demikian.

Setiap tindakan pemimpin diperhatikan dengan penuh minat oleh rakyat. Cuma ada dikalangan pemimpin yang merasakan bahawa rakyat di Malaysia masih tidak cerdik dan tidak dapat menilai apa yang dilakukan oleh pemimpin mereka.

Keadaan ini dikaburi oleh tindakan setengah media arus perdana yang merasakan bahawa apa yang dilaporkan oleh mereka sentiasa ‘dipercayai’ oleh rakyat.

Suasana kini sudah tidak begitu lagi keadaannya, apatah lagi dengan kemunculan media sosial yang berbagai-bagai bentuk yang boleh dilayari dimana saja.

Persepsi rakyat merasakan bahawa wang memainkan peranan yang cukup penting dalam menyelesaikan krisis seperti di Terengganu itu.

Dan mereka terus menyatakan bahawa keadaan yang berlaku di Terengganu ini adalah sama dengan keadaan krisis yang berlaku di Perak dan terus terang menyatakan bahawa wang berperanan dalam menyelesaikan krisis berkenaan, walaupun mereka tidak dapat melengkapkan hujah mereka dengan bukti kukuh.

Sekiranya majoriti rakyat beranggapan sedemikian rupa, memberikan pengertian bahawa prinsip perjuangan dan maruah sudah diketepikan oleh kebanyakan pemimpin di negara ini.

Maknanya kebanyakan pemimpin kita hanya ‘bertuhankan’ wang ringgit. Maknanya apa yang diperjuang dan diperkatakan oleh bakal pemimpin itu hanya sebagai ‘perhiasan’ untuk melayakkan diri mereka bergelar pemimpin dan tidak lebih dari itu.

Walaupun majoriti rakyat tidak dapat memberikan bukti bahawa politik wang sedang bermaharajalela di Malaysia, namun dapat dirasakan bahawa fenomena sedemikian berlaku di mana-mana.

Rakyat tentulah tidak sebodoh sebagaimana yang dianggapkan sehingga tidak dapat melihat ‘kelibat ikan di air yang pastinya akan tahu jantan betinanya’.

Dan rakyat juga tentulah tidak membuat tuduhan melulu sekiranya ternampak ‘pokok bergoyang yang pastinya ada angin yang meniupnya’. Bak kata orang putih, 'there is no smoke without fire’.

Sudah terlalu banyak hal yang sebegini diperkatakan dan aku hanya sekadar ‘menghidangkan nasi basi’.

Sebagai orang tua, tentulah aku merasa begitu sedih melihatkan perkembangan dan tingkah laku pemimpin yang sebegini. Dan pemimpin Melayu pula yang sentiasa ‘menjeritkan’ slogan ‘hidup Melayu’ sedangkan perangai mereka tidak menampakkan bahawa mereka mengamalkan sikap dan peribadi Melayu tulen.

Aku terpanggil untuk memperkatakan tentang tindakan pemimpin negara yang terdahulu. Sebenarnya ‘harimau mati meninggalkan belang dan manusia mati meninggalkan nama’.

Dan sebenarnya mereka meninggalkan nama apabila mereka sudah tiada. Dan mereka tidak ‘meninggalkan wang’ setelah mereka meninggal.

Aku tidak pernah dengar rakyat memperkatakan tentang kekayaan Tunku Abdul Rahman ataupun Tun Abdul Razak atau pun Tun Hussein Onn. Mungkin aku tidak tahu.

Dan banyak lagi pemimpin politik yang terdahulu yang semata-mata berkorban untuk kemajuan bangsa dan negara.

Wang dan ringgit tidak didahulukan oleh mereka dalam merangka perjuangan untuk bangsa dan negara, sepertimana yang dapat dilihat pada hari ini di mana dapat dilihat dengan jelas yang prinsip perjuangan lama telah diabai dan ditinggalkan.

PAS telah menunjukkan contoh dan teladan yang cukup terpuji dalam menangani krisis politik di Terengganu dengan mengambil sikap tidak akan menjatuhkan kerajaan Terengganu dengan memujuk tiga wakil rakyat BN yang keluar parti untuk bersama mereka, seperti dilakukan BN di Perak pada tahun 2009.

Azam itu dinyatakan Pesuruhjaya PAS Terengganu, Saiful Bahari Mamat pada sidang media di Kuala Terengganu, petang ini sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini bertarikh 13 Mei 2014.

Pastinya keadaan di Terengganu dan sikap pemimpin PAS ini amat berbeza dengan tindakan setengah golongan dalam kemelut politik  di negeri Perak pada 2009 dulu.

Saiful menyatakan, "Hasrat sultan beri kepercayaan kepada Razif itu, biar diberikan peluang kepada beliau untuk membina majoriti dia tetapi kalau dia gagal kita akan maklumkan kembali tindakan sewajarnya," katanya.

Semoga amalan yang sebegini berjaya dan diberkati Allah dalam segala  usaha yang murni.

Sumber Berita Dari HarakahDaily

DSAI DAN KAK WAN TERLIBAT DALAM SATU KEMALANGAN KECIL SEBENTAR TADI


Assalamualaikum dan salam hormat,

Dato Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan Azizah terlibat dalam satu kemalangan kecil di Desa Sri Hartamas jam 10 malam tadi. DS Anwar mengalami keretakan di pangkal tangan kanan berdekatan bahu, tapi alhamdulillah berada dalam keadaan selamat, tidak memerlukan pembedahan. DS Dr Wan Azizah juga berada dalam keadaan selamat dan sedang diperiksa doktor.

Kedua-dua DS Anwar dan DS Dr Wan Azizah akan pulang ke rumah malam ini.

Sekian terima kasih.

Fahmi Fadzil
Pengarah Komunikasi KEADILAN

Sumber Berita Dari Blog Omak Kau

DUN Terengganu tidak akan dibubarkan, kata MB baru

OLEH MOHD FARHAN DARWIS
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengangkat tangan kepada jurugambar ketika memasuki kenderaan rasmi meninggalkan pejabatnya di Wisma Darul Iman, Terengganu untuk menghadiri mesyuarat di Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2014. 
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman mengangkat tangan kepada jurugambar ketika memasuki kenderaan rasmi meninggalkan pejabatnya di Wisma Darul Iman, Terengganu untuk menghadiri mesyuarat di Putrajaya. – Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 14 Mei, 2014.
 
Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Razif Abd Rahman berkata pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN)  tidak akan dilakukan walaupun berlakunya krisis politik di negeri tersebut.

Beliau berkata, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Barisan Nasional (BN) yang mengisytiharkan keluar parti itu juga masih belum menghantar sebarang notis rasmi kepada Speaker DUN berkenaan tindakan mereka sekaligus menyaksikan mereka masih lagi ahli Umno.

"Secara rasmi dua Adun itu masih ahli Umno. Speaker tidak terima apa-apa secara rasmi."

"Pembubaran DUN bukan pilihan di Terengganu," katanya kepada pemberita pada sidang media di Wisma Darul Iman di Kuala Terengganu, hari ini.

Ahmad Razif yang memulakan tugas sebagai menteri besar menggantikan Datuk Seri Ahmad Said bermula hari ini berkata, desakan PAS untuk membubarkan DUN juga bukan perkara baru.

"PAS minta bubar itu kerja mereka. Dulu, kini, dan selamanya."

"Sebenarnya tiada apa-apa permasalahan yang berlaku. Saya yakin dan percaya persepsi yang berlaku tidak beri apa-apa kesan. BN masih lagi akan terus memerintah," katanya.

Ahmad Razif yang juga Exco Sains, Teknologi, dan Inovasi: Tenaga Teknologi Hijau dan Air negeri berkata, beliau akan mengetuai Adun Terengganu untuk bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Putrajaya hari ini.

Ditanya sama ada pertemuan berpunca daripada krisis yang melanda negeri itu, beliau menafikan perkara itu sebaliknya berkata pertemuan itu adalah perjumpaan berkaitan pentadbiran negeri.

"Tiada kena mengena dengan isu di sini," katanya.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut ketika ditanya status Ahmad yang juga Adun Kijal, serta Adun Ajil, Ghazali Tain.

"Saya tidak tahu," katanya.

Kedua-dua Adun itu bersama Adun Bukit Besi, Roslee Daud sebelum ini mengumumkan keluar Umno dan memilih menjadi Adun Bebas, namun Roslee menarik balik surat keluar partinya, malam tadi.

Krisis di Terengganu tercetus selepas Ahmad Razif dilantik sebagai menteri besar menggantikan Ahmad.

Sumber Berita Dari TMI

Muhyiddin ke Terengganu untuk selesai krisis, kata sumber

OLEH MD IZWAN

Kemelut politik dalaman Barisan Nasional (BN) di Terengganu memaksa Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turun berjumpa dengan bekas menteri besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Sumber memberitahu The Malaysian Insider, Muhyiddin (gambar) dijangka tiba petang ini di Terengganu dan akan mengadakan pertemuan dengan Ahmad bagi mencari jalan penyelesaian.

"Bukan Perdana Menteri, tapi TPM (Timbalan Perdana Menteri) yang ke Terengganu, dijangka tiba petang ini."

"Beliau (Muhyiddin) akan berjumpa dengan Ahmad nanti," kata sumber Umno Terengganu kepada The Malaysian Insider menafikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan hadir.

Sumber juga memberitahu Ahmad sepatutnya mengadakan sidang media petang ini bagi mengumumkan perletakan jawatan, akan tetapi terpaksa ditangguhkan dengan kedatangan Muhyiddin.

"Hari ini tiada sidang media Ahmad tapi jumpa Muhyiddin dahulu," kata sumber itu dengan syarat namanya tidak didedahkan.

Sumber juga memberitahu langkah PAS untuk memanggil satu sidang khas bagi mendapatkan undi tidak percaya ke atas BN tidak boleh dilaksanakan selagi Ahmad tidak membuat pengumuman rasmi keluar parti.

"Nak buat sidang khas kena sahkan dahulu Ahmad keluar parti. Setakat ini Ahmad belum tampil belum buat pengumuman rasmi," katanya.

Sumber juga memberitahu khabar angin mengatakan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) akan keluar parti tidak benar, sebaliknya ia masih dalam keadaaan "status quo" dengan tiga sahaja wakil rakyat Umno menjadi Adun Bebas.

"Status quo tiga sahaja, tiga lagi sudah buat kenyataan tidak akan keluar," katanya.

Kemelut politik dalaman Umno di Terengganu tercetus selepas perletakan jawatan Ahmad sebagai menteri besar dan kemudiannya keluar parti, langkah tersebut disusuli dua lagi Adun Umno.

Tindakan tersebut menyebabkan komposisi DUN yang dikuasai oleh BN di Terengganu berubah dan menjadikan jumlah kerusi sama dengan Pakatan Rakyat (PR).

Bagaimanapun, Penasihat Undang-undang Negeri, Datuk Azhar Abdul Hamid berkata BN masih kekal memerintah Terengganu walaupun tiga wakil rakyatnya keluar parti.

Beliau berkata, walaupun bilangan wakil rakyat BN berkurangan daripada 17 kepada 14 dan pembangkang mempunyai 15 anggota dalam dewan undangan negeri, speaker juga dikira sebagai wakil kepada kerajaan negeri yang memerintah dengan kedudukan kerusi 15:15:3.

Secara konvensyennya, kebanyakan ahli politik menandatangani surat peletakan jawatan undur tarikh sebelum memegang jawatan di Malaysia.

Ahmad yang mengawal sesetengah pecahan dalam Umno Terengganu mengangkat sumpah sebagai menteri besar pada Mac 2008, walaupun Umno memilih Datuk Seri Idris Jusoh.

Idris kini merupakan menteri pendidikan II dalam Kabinet Najib.

Tahun lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Besut mereka tidak boleh campur tangan di Terengganu jika berlaku DUN tergantung disebabkan BN menang tipis.

Menurut SPR, terpulang kepada parti politik untuk menyelesaikan masalah itu.

Sumber Berita Dari TMI

PM Najib Razak tiada hati perut, kata Ahmad Said

najib_razak 
KUALA TERENGGANU 13 MEI: Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sebagai seorang yang tidak berhati perut.

Katanya, tindakan Najib ‘mamaksanya’ meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar keterlaluan kerana menganggu majlis perkahwinan anak perempuanya yang dirancang diadakan di kediaman rasmi Menteri Besar itu.

“Kalau saya sahaja tak apa. Ini melibatkan anak saya. Kalau saya sahaja saya boleh tahan, tapi ini melibatkan anak saya,” kata Ahmad Said dipetik dari wawancara bersama Astro Awani hari ini selepas beliau sah meletak jawatan.

Ahnad Said akan mengadakan majlis perkahwinan anak perempuannya di kediaman rasmi Menteri Besar di Kemaman s17 Mei depan.

“Saya minta tangguh sehingga selesai majlis, itu sahaja. Sebagai orang tua takkan dia tak faham? Saya cakap anak saya nak kahwin minggu depan, takkan tak boleh bincang?"

“Saya ada prinsip. Anak saya nak kenduri. Kalau boleh bagi kenduri selesai. Tapi jadi begini. Saya tidak ada masalah, saya boleh terima (pertukaran MB)."

Namun katanya, majlis itu terganggu kerana tindakan Perdana Menteri menggesa menyegerakan pertukaran Menteri Besar negeri itu.

Bekas Menteri Besar Terengganu yang juga Adun Kijal, Datuk Seri Ahmad Said, Adun Ajil, Ghazali Taib dan Adun Bukit Besi, Roslee Daud mengisytiharkan awal hari ini keluar Umno dan menjadi wakil rakyat Bebas.

BN Terengganu kini hanya diwakili 14 Adun berbanding Pakatan Rakyat yang menguasai 15 kerusi dengan tiga lagi kerusi merupakan kerusi bebas.

Sumber Berita Dari KeadilanDaily

'Ahmad Razif MB baru yang tak banyak pilihan'

 
Dilantik sebagai menteri besar baru Terengganu malam tadi, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman tidak mempunyai banyak pilihan.

Jika tidak kena gayanya, bekas exco itu boleh mencatat rekod sebagai menteri besar dengan tempoh perkhidmatan terpendek di negara ini.

Peguam yang mahir dalam bidang perlembagaan Syahredzan Johan (kanan) berkata, dengan komposisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang, beliau boleh tewas dalam usul undi tidak percaya.

Jika itu, berlaku, tambahnya lagi, menteri besar hanya mempunyai pilihan membubarkan DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri atau meletakkan jawatannya bersama-sama barisan exconya.

“Sekiranya pilihan kedua diambil, maka DYMM Sultan harus melantik MB yang baru yang pada hematnya mendapat sokongan majoriti ahli DUN,” kata timbalan pengerusi undang-undang perlembagaan Majlis Peguam itu.

Bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said awal pagi tadi bersama dua lagi ADUN Umno mengisytiharkan keluar parti dan menjadi bebas.

Penentuan luar DUN

Ia ekoran tidak puas hati dengan kaedah pertukaran menteri besar negeri itu. Beberapa ADUN lagi dijangka mengikut jejak langkah itu.

Ia mencetuskan krisis politik baru apabila BN kini menjadi kerajaan minoriti dengan 14 kerusi dalam DUN berbanding Pakatan (15) dan bebas (3).

Menulis dalam blognya, Syahredzan berkata, berdasarkan kes Nizar v Zambry di Perak, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa sokongan terhadap seseorang MB boleh ditentukan melalui cara lain di luar DUN.

Menurut kes itu juga, kata Syahredzan lagi, jika menteri besar dan exco tidak letak jawatan selepas hilang sokongan, jawatan mereka dianggap kosong dengan sendirinya.

“Sekiranya MB Terengganu tidak hilang sokongan sekalipun, sebuah kerajaan minoriti akan menghadapi pelbagai masalah, antaranya jika mereka membentangkan rang undang-undang untuk diluluskan oleh DUN."

“Dan juga mereka sentiasa punya risiko tewas undi tidak percaya/tidak dapat sokongan majoriti ADUN."

“Senang cerita, situasi di Terengganu sekarang 'havok, havok',” tulisnya lagi.


Sumber Berita Dari MalaysiaKini

Bala Untuk Najib - Krisis Politik Umno Terengganu....!!!


TERKINI! TERENGGANU-Maka 3 ADUN BN Jertih-Permaisuri-Batu Rakit telah berlepas dengan penerbangan 4ptg untuk jumpa PM NAJIB di KL.

Panas....!!! 10,000 Rakyat Ajil Berhimpun Protes Kepada Mantan Menteri Besar Terengganu


Protes terhadap Mantan Menteri Besar, boleh tak bawa lebih orang sikit. Kalau tak sampai beribu-ribu orang seperti sebelah sana buat demo, dapat seratuspun jadilah.

Ini yang datang tak sampai pun 10 orang. Muka-muka pemprotes macam tak ikhlas saja. Cer check molek. Ni wayang ker guano? Hok pegang kain rentang tu ikhlas berdemo ker? Ker pasni amik duit kopi? Adeeh! Pakcik cer kelik main dengan cucu deh!

Kemelut politik Umno Terengganu, satu lagi ‘bala’ buat Najib

SHAH ALAM, 13 MEI: Kepincangan Barisan Nasional (BN) di Terengganu kian memuncak apabila satu demi satu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada parti itu mula mengikut jejak langkah bekas Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Said yang bertindak keluar parti dan menjadi ADUN Bebas.

Bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times (NST), Datuk A Kadir Jasin menyifatkan tindakan luar jangka daripada beberapa pemimpin Umno itu adalah satu lagi ‘bala’ buat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak selepas memenangi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Beliau juga berpendapat, perkara itu pastinya memberi tamparan hebat buat kepimpinan Najib yang dianggap Perdana Menteri Malaysia ‘paling kurang bernasib baik’.
 
“Secara teknikal, BN kini kekurangan tiga kerusi dalam Dewan Undangan Negeri dan meletakkan ia setanding dengan Pakatan Rakyat (PR)."

“Pelbagai perkara mustahil boleh berlaku iaitu sama ada PAS menyertai Umno dalam membentuk kerajaan campuran di negeri itu atau BN akan kehilangan Terengganu."
 
“Atau adakah Terengganu berkemungkinan akan terperangkap dalam satu lagi krisis politik yang berlaku pada tahun 1960-an dan 70-an?” tulisnya di blog.

Kurang 24 jam ADUN Seberang Takir, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar yang baru, dua lagi ADUN Umno, Roslee Daud (Bukit Besi) dan Ghazali Taib (Adun Ajil) menghantar surat meninggalkan parti itu dan mengisytiharkan menjadi ADUN Bebas.

Hal itu menjadikan Menteri Besar Terengganu hilang majoriti dalam DUN apabila hanya mempunyai 14 ADUN berbanding PR iaitu 15 kerusi (PAS 14, PKR 1) dan Bebas (3) dalam DUN yang mempunyai 32 ahli itu.

A Kadir berkata, jika tiga pemimpin itu tetap dengan keputusan mereka untuk meninggalkan Umno dan mengisytiharkan diri mereka ahli bebas, maka PR boleh menuntut hak membentuk kerajaan negeri.
 
Bagaimanapun katanya ahli politik boleh mengubah keputusan mereka sesuka hati jika ditawarkan ‘harga’ yang tepat daripada pihak kerajaan supaya tidak meninggalkan parti.

“Keadaan akan menjadi lebih teruk kepada BN jika benar lebih ramai ADUN Umno akan mengikut jejak langkah Ahmad, Roslee dan Ghazali. Namun, ia dijangka boleh berubah bila-bila masa jika mereka diberikan ‘harga’ yang tepat,” katanya.
 
Sumber Berita Dari Blog Kedahkini